Wednesday 7 August 2013

Coretan dari sahabat ~ Bangkit dari kegagalan, mungkin inilah ITHAR itu...


LULUS, Alhamdulillah! Tanpa sedar air mataku mengalir melihat keputusan peperiksaan kali ini, lantas aku sujud tanda syukur atas kurnian Allah kali ini. Kegembiraan aku tidak lama, melihat sahabat aku lain yang gagal, yang bersama denganku dalam bergerak kerja, sesuatu yang cukup menyedihkan aku. Walaupun sahabat-sahabatku ini dilihat kuat, tabah, tapi jauh dalam sudut hatinya, aku tahu apa yang mereka rasakan, buatkan aku terkenang diriku setahun yang lepas......

Setahun yang lalu...

GAGAL!! Aku kena repeat setahun!!Aku terpaku melihat keputusan yang aku perolehi. Diri aku dengan persekitaran seperti berpisah. Aku hanya mendengar jerit tawa kegembiraan sahabatku yang lulus, tapi aku, masih terpaku, kaku dan tidak bergerak. Lantas aku dikejutkan oleh pelukan salah seorang sahabatku yang lulus,"Allah, kuatkan diri, sabar la..." itu kata-kata yang sempat aku ingat lagi. Dia mengorbankan haknya yang sepatutnya gembira untuk mententeramkan hati aku yang kecewa dan sedih. Dia mengorbankan haknya untuk sambut kejayaan dengan menemani dan bertanya khabar tentangku.

Aku pernah gagal sebelum ini, tapi aku tidak pernah menangis. Tapi kegagalan kali ini aku menangis. Selepas aku berusaha bersungguh-sungguh dan aku yakin aku akan berjaya, tapi sebaliknya berlaku. Hati mana tidak remuk dan kecewa dengan apa yang berlaku. Ditambah pula melihat wajah sugul kedua ibu bapaku yang melihat kesedihan dan kekecewaan aku, aku makin rasa kecewa. Aku sudah tidak punya daya untuk cari kembali kekuatan.



Hari demi hari berlalu, aku berusaha kuatkan diri, sekurang-kurangnya menggembirakan kedua ibu bapaku. Banyak mesej kata-kata semangat aku terima.

'be strong...'

'kuatkan semangat, insyaallah ko boleh...'

'teruskanla..sikit je lagi...'

 'ada hikmah Allah nak tunjukkan..'

Aku hargai semua kata semangat itu, dan kadang hati aku meremehkan semua kata-kata itu. 'Yelah, kamu tak merasai apa yang aku rasa'. Aku lalui hari-hari seterusnya seperti biasa. Apa yang ada dalam hati aku biarlah aku dan Allah sahaja yang tahu. Bilamana ada sahabatku bertanya, "ko macamana, ok?" Lantas jawapan spontan aku, "Tak Ok.." dan biasanya aku iringi jawapan itu dengan senyuman atau gelak tawa. Mungkin orang melihat aku hanyalah bergurau. Ya, aku kuat bergurau, tapi aku tak pandai menipu. Jawapan itu dari hati aku.

Hari ini...

Hari ini, situasi sama berlaku, cumanya watakku berubah. Kini aku pula perlu memberi semangat kepada sahabatku. Hati aku berkecamuk untuk menitipkan kata semangat kepada sahabatku. Tatkala hati berkecamuk, jari jemari pula terasa kaku. Yang bermain dalam fikiranku, "Ahh mungkin apa yang aku bagi ni sama je dengan orang lain bagi," akalku keliru, buatkan aku bermonolog sendirian," Tatkala aku rasa putus asa, tapi aku teruskan juga, apa yang buatkan aku kuat tempuh ujian ini?" Sendirian aku mengelamun.

ITHAR. Itu yang bermain di fikiranku. Tanpa sedar bibirku mengukir senyuman. Tinggal beberapa bulan sebelum aku hadapi peperiksaan kali ini, sekali lagi aku dihujani kata-kata semangat. Tapi kali ini yang aku peroleh adalah sesuatu yang luarbiasa yang telah menyentap ego aku sebelum ini yang memandang remeh kata semangat sahabat-sahabatku.

" Sem depan make sure kat sini, aku mengeluarkan hukum wajib!!" tegur salah seorang pimpinan jemaah yang aku sertai, yang aku hormati.

"good luck study. i have faith in you, kau boleh." tegur salah seorang sahabat seusrah denganku.

Sambil-sambil aku belajar, datang sahabatku, sambil pegang muka ku, "aku nak, tiap kali balik dari jawab exam, aku nak wajah hang dalam keadaan happy,"....

Gila! Ya itulah sahabatku, sangat terus terang, terus dari hati sanubari. Itu belum lagi ku kira harapan menggunung kedua ibu bapaku. Kali ini semangatnya berbeza, perasaannya lain. Buatkan aku bulatkan tekad, tinggalkan segala perasaan yang lama, aku berusaha sehabis baikku. Bilamana diletakkan 'wajib lulus' semestinya ada sesuatu yang dia harapkan dari aku demi kelangsungan gerak kerja kali ini, semestinya dia seorang yang kenal dan menghargai siapa aku. Bilamana dia meletakkan 'I have faith in you' tatkala akupun masih kurang yakin, buatkan aku tersentap, bagaimana orang lain boleh yakin dengan aku. Tatkala sahabatku inginkan aku terus dalam keadaan 'happy' semestinya dia seorang yang sangat mengenali perangai aku ini. Semestinya cukup besar harapan sahabat-sahabatku ini. Tiada masa lagi untukku menoleh ke belakang, langkah terus ke depan.


Ithar...

Ya, sekarang kamu yang merasai kegagalan itu. Ya, benar orang lain tidak merasai apa yang kamu rasai.Tapi ingatlah, yang pasti kamu tidak pernah hadapinya seorang diri. Buat sahabat-sahabatku sekalian, mungkin coretan ini tidak ada letakkan apa-apa ayat Al-quran ataupun hadis, tidak bercakap tentang hikmah, kerana yakin semua itu semestinya telah memenuhi inbox-inbox mesej kamu. Cumanya, harapan agar setiap daripada kamu menghargai setiap ucapan, kata semangat, dan doa mereka. Tatkala orang lain sepatutnya gembira meraikan kejayaan, mereka masih lagi berkorban kegembiraan mereka untuk memberi semangat buat kamu. Tatkala mereka rasa takut dan segan untuk memberikan sedikit kata-kata semangat untuk kamu, mereka sanggup pecahkan tembok itu. Tatkala kamu tidak ketahui bagaimana orang lain rasai bila mendengar berita kegagalan kamu, tatkala itulah mereka ini bermunajat, berdoa pada Allah agar kamu diberi kekuatan, dan peroleh kejayaan selepas ini. Semua ini mereka lakukan tanpa kamu semua sedar.

Kini masanya kamu bangkit dari kelemahan, kesedihan dan kekecewaan ini. Membina semula kekuatan yang pernah kamu miliki. Berapa banyak kisah sejarah lalu mereka yang gagal bangkit kembali berusaha untuk menang. Kisah penawanan semula Palestin dari tentera salib, kisah penawanan kota Konstantin. Kisah orang yang membunuh 100 orang akhirnya bertaubat dan dimasukkan ke syurga dan banyak lagi. Jika kamu rasa putus asa dan kecewa, ingatlah mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan kepada kamu untuk berjaya. Masanya untuk kamu bekorban perasaan kamu, tinggalkan kekecewaan kamu, terus melangkah dan kuat. Bulatkan tekad, usahakan sehabis baik, yang mana semestinya kamu akan rasai keletihan itu dan terpaksa berkorban banyak perkara.

Sekilas pandang, kenapa aku perlu buat semua ini demi orang lain? Kerana kamu meyakini ukhuwah, semestinya kamu mengerti tentang Ithar. Ithar bukan sekadar mendahulukan orang lain dalam membantu dikala punyai masalah, tetapi ithar, memenuhi permintaan, harapan, keyakinan, dan kepercayaan orang lain terhadap kamu, lalu kamu berkorban segala rasa kecewa dan lemah yang kamu rasai kini, dan terus berikan sehabis baik dalam memenuhi harapan itu yang mana semestinya kamu akan rasai keletihan, kesusahan, berkorban banyak perkara deminya. Tatkala kamu berjaya penuhi harapan mereka, tatkala itu kamu juga memenuhi harapan kamu sendiri yang pada suatu ketika kamu rasakan ianya suatu yang mustahil. Ingatlah yang diuji itu tidak lain Allah datangkan dengan pelajaran dan pengajaran yang cukup banyak.

Aku menulis ini kerana sayangnya aku pada kamu, dan kamu, tidak pernah aku tinggalkan keseorangan.......teruskan berusaha, jangan pernah rasa lelah dan kecewa.



Aku adalah yang telah melalui kegagalan itu.

Kamu adalah yang sedang lalui kegagalan itu.

Mereka adalah yang memberi harapan dan meletakkan keyakinan kepada kamu

…..dan ukhuwah, itu antara aku, kamu, Allah, dan mereka….


“Kerana ukhuwah itu terbina, kehidupan jadi luarbiasa…….”

- Shah Hafiz -

Friday 12 July 2013

Muslim yang berNILAI..

Gegak-gempita Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudahpun berakhir, siapa yang menang dan membentuk kerajaan juga telahpun diketahui,  pun begitu, gegak gempita itu kini disambung pula dengan siri-siri himpunan ‘Blackout 505’ sebagai membantah penipuan-penipuan dan ketidakadilan yang berlaku sepanajang PRU13 yang lalu. Sambil-sambil merehatkan diri, tiba-tiba rasa rindu dengan suasana PRU-13 yang lepas. Banyak siri-siri ceramah, video-video promo yang menghiasi ‘page-page’ Facebook, blog dan sebagainya. Penulis salah seorang yang selalu ‘update’ maklumat-maklumat terbaru tentang PRU-13. Cukup sekadar menjadi pemerhati dan menimba maklumat, tidak sampai tahap berada dalam golongan yang dikatakan ‘keyboard warrior’ sepanjang PRU-13.

Sambil membelek-belek koleksi video sepanjang PRU-13 yang lepas, sangat tertarik dengan video sambutan jemaah jumaat sebagai respon kepada kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mursyidul am PAS, di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya (lebih dikenali sebagai Masjid Besi). Seorang Menteri Besar Kelantan (kini mantan MB Kelantan), tetapi kehadirannya cukup mengkagumkan, tanpa sebarang protokol, tanpa perlu ada karpet merah, duduknya pula di tengah-tengah ribuan jemaah yang lain, tidak ada sebarang layanan istimewa baginya ketika itu. Apa yang lebih mengkagumkan adalah bagaimana, seorang sosok tua yang jalannya berpangkukan tongkat, geraknya kelihatan lemah, tetapi dapat menarik perhatian ramai hadirin ketika itu.


Belum selesai solat sunatnya, dirinya sudahpun dikerumuni dan dinanti-nantikan oleh ribuan jemaah yang hadir ketika itu. Entah kenapa, perasaan ketika melihat suasana ini seperti semut yang mengerumuni gula, melihat jemaah yang hadir ketika itu seolah-olah sangat merindui dan menantikan kehadiran Tok Guru dan peluang itu tidak dilepaskan mereka. Mungkin inilah penangan kehebatan seorang ulama yang di media perdana seringkali difitnah dan dihina, tetapi hakikat Tok Guru adalah idola semua rakyat, ulama yang sangat dihormati dan disayangi rakyat. Pernah menjadi pemimpin Islam ke-42 paling berpengaruh di dunia, satu-satunya negeri di negara ini yang bebas dari isu-isu pecah amanah, rasuah selama pemerintahannya, seorang pemimpin yang cukup dekat dengan rakyatnya, sangat merendah diri dan zuhud. Maka tidak hairanlah Tok Guru seorang yang cukup dihormati dan disegani kawan mahupun lawan.

Bukanlah mahu terlalu mengagung-agungkan Tok Guru, bukan juga mahu berbicara berkenaan PAS ataupun politik, cuma menjadi tanda tanya, apakah yang membuatkan seorang tua, berpanku tongkat dan jalannya dilihat lemah, tapi cukup dirindui, dicintai ramai orang sehingga sanggup berasak-asakan semata-mata mahu melihat sosok Tok Guru ? Sesuatu yang sukar dilihat pada pemimpin lain pada hari ini.




Nilai Islam

Pada hari ini seringkali kita dengar kata-kata yang mana, “Jika mahu faham Islam tu, jangan tengok pada orangnya, tapi pelajarinya dari Al-Quran dan Sunnah”. Seringkali juga ucapan Saidina Ali yang berbunyi, “…jangan lihat siapa yang bercakap, tapi dengarlah apa yang diucapkan”, ini digunapakai ramai orang pada hari ini. Perlu difahami bahawa Saidina Ali mengeluarkan ucapan sedemikian adalah kerana keadaan perpecahan umat ketika itu yang cenderung taksub kepada individu tertentu, sekaligus membuatkan assobiyah yang tinggi, lantas menutup dan mengongkong pemikiran mereka, tetapi malangnya ramai yang menggunakannya sebagai alasan untuk tidak melihat atau menjadikan dirinya sebagai contoh kepada seorang muslim itu.

Ungkapan-ungkapan ini pada hari ini menjadi kebiasaan diucapkan oleh bukan sahaja muslim kebiasaan tetapi juga oleh ramai penceramah-penceramah agama. Apa yang ditakutkan adalah bagaimana kritikalnya gambaran Islam yang dibawa oleh muslim itu sendiri seolah-olah Islam itu tidak mampu dipikul dan diamalkan oleh manusia.

Inilah masalah besar umat yang berlaku pada hari ini, walaupun secara luarannya pelaksanaan Islam itu dilihat berjalan, hakikatnya, roh, nilai Islam itu lemah dan tidak terpancar pada peribadi muslim itu sendiri. Ramai yang melihat Islam hanya pada rutin ibadahnya iaitu solat, puasa, zakat, haji, tetapi tidak mengambil pengajaran daripada nilai ibadah itu yang mengajar nilai-nilai Islam dalam pemikiran, disiplin diri, berakhlak mulia, amanah, berlaku adil, berucap dan berbahas dan banyak lagi aspek kehidupan ini. Nilai Islam inilah yang ada dan terpancar pada peribadi Tok Guru, menjadikan dirinya seorang yang sangat dihormati samada kawan atau lawan.

Tarbiyah Nabi Muhammad s.a.w

Kadang tertanya-tanya, ketika zaman Nabi s.a.w. ,apa yang membuatkan masyarakat ketika itu percaya dengan Islam yang dibawa Nabi s.a.w seterusnya memeluk Islam? Sambil tidak menafikan pakej Islam itu sendiri sebagai faktor penyumbang, tetapi kenapa ianya disandarkan di atas bahu Nabi s.a.w? Apakah faktor lain yang ada pada diri Nabi s.a.w itu sendiri yang menjadi penyumbang kepada tersebarnya Islam pada zaman itu?

Maka lihatlah pada tarbiyah Nabi s.a.w itu sendiri. Nabi s.a.w sebelum diangkat dan bergelar sebagai seorang nabi, telah ditarbiyah terlebih dahulu oleh Allah s.w.t dengan nilai-nilai Islam. Lihat sahaja di usia kecilnya, ketika masih lagi kanak-kanak, baginda sudahpun mengikuti rombongan perniagaan bapa saudaranya, Abu Talib ke Syam. Baginda juga telah terlibat dengan pekerjaan sebagai seorang pengembala kambing bagi membantu keluarga ayah saudaranya yang susah. Pada umur remajanya pula, baginda diberi kepercayaan oleh Saidatina Khadijah (akhirnya bergelar isteri baginda), untuk menguruskan misi perdagangan perniagaan Saiditina Khadijah sehinggakan semua barang dagangan itu habis dijual.

Peribadinya pula seorang yang sentiasa menjauhi diri dari perkara yang mungkar, sentiasa membawa diri menyendiri di gua Hira’ sebagai tempat bermunajat dan memikirkan keadaan semasa masyarakat. Baginda juga pada awal 20an telah mendirikan Hilfil-Fudul, satu badan berkebajikan membantu orang-orang miskin dan teraniaya. Malah baginda juga diberikan kepercayaan untuk menyelesaikan masalah peletakan batu Hajarul Aswad selepas pembinaan semula Kaabah yang rosak teruk ketika banjir melanda.

Lihat sahaja tarbiyah yang baginda lalui. Lihat sahaja nilai peribadi yang baginda punyai. Seorang yang cukup amanah, jujur, cerdas, berkredibiliti, mengambil berat, kepimpinan yang hebat, bercakap benar, dan sangat dipercayai masyarakat ketika itu. Lantas, belumpun baginda diangkat menjadi nabi, baginda sudahpun dikenali masyarakat dengan gelaran Al-Amin. Maka tidak hairanlah, dengan nilai-nilai yang ada dan terpancar ada susuk baginda s.a.w ini, menjadi antara faktor bagaimana baginda s.a.w sangat dihormati dan dipercayai masyarakat, dan kesannya, Islam yang dibawa baginda s.a.w ketika itu diterima dan diyakini dan terus tersebar luas.



Hidupkan Nilai Islam Dalam Diri

Disini bukanlah untuk membandingkan dan samatarafkan diri Nabi s.a.w dan Tok Guru, jauh sekali mahu mengagung-agungkan dan taksub kepada Tok Guru. Tetapi pengajaran yang boleh diambil disini adalah apabila nilai Islam pada diri ditegakkan, maka akan muncul pancaran Islam pada diri itu.

Sesungguhnya telah ada dalam diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Al-Ahzab : 21)

Hakikatnya bila bandingkan dengan peribadi Nabi s.a.w, bukanlah bermaksud diri kita mahu menjadi seorang nabi, bukan juga mahu samakan sesiapa dengan nabi, hatta kualiti, nilai islam pada diri kita dengan nabi cukup jauh sekali. Persoalannya adalah siapa nabi bagi diri kita, umat Islam? Bagindalah  ikutan kita. Itulah contoh kita. Itulah tempat rujukan kita. Itulah yang perlu ditiru, yang perlu ada pada peribadi diri kita juga. Sekaligus dapat menarik minat dan menjadi contoh yang baik dan berkesan bagi mempromosi Islam dengan nilai-nilai Islam yang terpancar itu.

Kaedah dakwah bil hal adalah antara salah satu uslub dakwah itu sendiri. Ianya mampu memberi kesan yang besar dan positif kepada sudut pandang masyarakat terhadap Islam. Dalam suasana ke-taadud-an jamaah pada hari ini, semua berlumba-lumba untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang digerakkan berlandaskan syariat Islam. Lantas bidang siasah atau politik menjadi pilihan banyak gerakan Islam pada hari ini. Pun begitu, dalam ‘kegelojohan’ banyak gerakan Islam dalam politik pada hari ini, yang banyak mengejar dan mendapatkan kuasa memerintah dan pembuat dasar negara, ramai yang lupa bahawa diri mereka, tarbiyah diri, perlulah terlebih dahulu memancarkan nilai-nilai Islam itu sendiri.   

Mengambil kata2 Kata-kata Imam Hasan Al-Hudaiby,
“Tegakkan Daulah Islam Dalam Diri Kamu, Nescaya Ia Akan Tegak Di Atas Bumi Kamu”.

Ayuh kita sama-sama gerakkan Islam dalam diri kita. Ayuh tegakkan Islam dalam diri kita, dari semua aspek kehidupan kita. Mungkin ada yang melihat mustahil untuk dapat melaksanakan semuanya, kerana diri ini bukanlah maksum, kerana diri ini hanyalah manusia yang lemah dan penuh kekurangan. Ketika kecil, kita melihat solat 5 waktu adalah sesuatu yang berat untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan puasa, menutup aurat dan banyak lagi. Tanpa kita sedar, selepas hari demi hari kita amal dan kita lalui, sesuatu yang dulunya dilihat susah, berat, kini menjadi kebiasaan malah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup kita.

Maka, dalam melengkapkan diri kita dengan nilai-nilai Islam, bukan mustahil yang perlu kita lihat, tetapi usaha yang  istiqamah perlu digerakkan kearah setiap hari dan setiap masa yang kita lalui menjadikan diri kita sentiasa lebih baik dari semasa ke semasa.

Menjadi Lebih Baik

Apa itu ‘baik’? Patuh pada allah dan rasul, tapi caranya mungkin berbeza antara satu sama lain. Jika diminta untuk didefinasikan ‘baik’ itu, sudah tentu pelbagai definisi akan diberikan. Tiada suatu kriteria yang tetap bagi seseorang itu menyatakan bahawa dirinya sudah baik.

Tetapi apa yang cukup menguntungkan kita pada hari ini adalah peluang kita hidup pada hari ini. Ya!! Pada hari ini!! Sekarang ini!! Pada ketika anda semua pembaca membaca artikel ini!! Kenapa ianya sangat menguntungkan? Kerana kita ada pada hari ini, bermakna kita telah lalui kehidupan hari semalam, kita mempunyai pengalaman yang telah kita lalui pada hari semalam.  Itu adalah pelajaran yang sangat besar dan berguna pada diri kita hari ini. Pelajaran  yang membuatkan kita pada hari ini tahu dan kenal diri kita, di mana lagi pada diri ini yang masih tidak mencapai piawaian ‘baik’. Pelajaran yang memberikan peluang pada kita pada hari ini untuk memperbaiki kesilapan kita, seterusnya menjadikan hari ini lebih baik daripada apa yang dilalui semalam.

Maka, pengalaman pada hari ini, janganlah kita lupakan. Ingat!!  Jangan lupakan!! Kerana hari ini akan menjadi pelajaran baru pada kita untuk hari esok, merancang diri menjadi lebih baik daripada apa yang  telah kta lalui pd hari ini. Dan begitulah setiap hari dan hari-hari seterusnya yang bakal kita lalui sesuai dalam menyahut seruan Nabi s.a.w. yang berbunyi,

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan
orang yang celaka”

Untuk itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah ubah sudut pandang kita tentang agama, tentang Islam itu sendiri.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu  yang nyata.
(Al-Baqarah : 208)

Dari sudut kacamata ramai muslim pada hari ini melihat agama hanya sekadar dari sudut amalan ibadah semata-mata. Islam adalah cara hdup, menjadi seorang muslim bererti mengamalkan Islam dalam setiap sudut kehidupan kita. Jika kita pada hari ini sekadar melihat Islam pada amalan ibadah, tetapi roh dan nilai-nilai Islam tidak dihayati dan diamalkan dalam pembentukan akhlak, perilaku,pemikiran, keupayaan, amanah, keadilan dalam setiap perkara yang dilakukan, maka kita akan melihat sekular itu bukan sekadar mengasingkan dunia dengan agama, tapi lebih teruk daripada itu, dalam agama itu sendiri diserang dengan ‘sekular’nya apabila pengertian agama itu sendiri disempitkan dalam pengamalan seharian.

Penutup

 ‘Sekular’ dalam agama, apabila roh dan nilai Islam dalam ibadah diasingkan daripada pengamalan ibadah itu sendiri. Hentikan diri kita daripada terus menjadi fitnah kepada agama yang diredhai Allah s.w.t ini dengan membaiki diri dan menyiapkan diri dengan pancaran nilai-nilai Islam.

Wallahu'alam.

5apik

Tuesday 18 June 2013

Hatiku Rindu


Wahai pemilik hati,
Hatiku berdugup rindu..rindu sangat pada-Mu Ya Allah..
Hatiku tenang mendengar alunan surat cinta-Mu, mengubat perasaan resah yang melanda..
Sentuhlah hatiku dengan penuh kasih sayang..kelembutan hati yang lahir, membahagiakan..
Terangilah hatiku dengan cahaya keimanan..kerana hatiku tidak kuat tanpa bimbingan-Mu..
Ya Allah yang membolak balikkan hati, tetapkan hatiku supaya sentiasa taat pada-Mu..
Siramilah hatiku dengan air ketabahan, supaya hatiku kuat mengharungi kehidupan..
Bersihkanlah hatiku, hilangkan titik-titik hitam di hati yang menyakitkan..
Gantilah hati yang baru, hati yang sentiasa rindu pada-Mu..
Hatiku layu tanpa cinta-Mu
Hatiku milik-Mu....
 ALLAH 

Ketahuilah...
"Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan apa yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati."
[64:4]




“Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” [50:16]

Carilah Allah. Sesungguhnya Allah dekat..sangat dekat =’)

O’ Allah, the One who turns hearts, make my heart firm in faith..

SMILE..^^ Allah loves you