Wednesday 7 August 2013

Coretan dari sahabat ~ Bangkit dari kegagalan, mungkin inilah ITHAR itu...


LULUS, Alhamdulillah! Tanpa sedar air mataku mengalir melihat keputusan peperiksaan kali ini, lantas aku sujud tanda syukur atas kurnian Allah kali ini. Kegembiraan aku tidak lama, melihat sahabat aku lain yang gagal, yang bersama denganku dalam bergerak kerja, sesuatu yang cukup menyedihkan aku. Walaupun sahabat-sahabatku ini dilihat kuat, tabah, tapi jauh dalam sudut hatinya, aku tahu apa yang mereka rasakan, buatkan aku terkenang diriku setahun yang lepas......

Setahun yang lalu...

GAGAL!! Aku kena repeat setahun!!Aku terpaku melihat keputusan yang aku perolehi. Diri aku dengan persekitaran seperti berpisah. Aku hanya mendengar jerit tawa kegembiraan sahabatku yang lulus, tapi aku, masih terpaku, kaku dan tidak bergerak. Lantas aku dikejutkan oleh pelukan salah seorang sahabatku yang lulus,"Allah, kuatkan diri, sabar la..." itu kata-kata yang sempat aku ingat lagi. Dia mengorbankan haknya yang sepatutnya gembira untuk mententeramkan hati aku yang kecewa dan sedih. Dia mengorbankan haknya untuk sambut kejayaan dengan menemani dan bertanya khabar tentangku.

Aku pernah gagal sebelum ini, tapi aku tidak pernah menangis. Tapi kegagalan kali ini aku menangis. Selepas aku berusaha bersungguh-sungguh dan aku yakin aku akan berjaya, tapi sebaliknya berlaku. Hati mana tidak remuk dan kecewa dengan apa yang berlaku. Ditambah pula melihat wajah sugul kedua ibu bapaku yang melihat kesedihan dan kekecewaan aku, aku makin rasa kecewa. Aku sudah tidak punya daya untuk cari kembali kekuatan.



Hari demi hari berlalu, aku berusaha kuatkan diri, sekurang-kurangnya menggembirakan kedua ibu bapaku. Banyak mesej kata-kata semangat aku terima.

'be strong...'

'kuatkan semangat, insyaallah ko boleh...'

'teruskanla..sikit je lagi...'

 'ada hikmah Allah nak tunjukkan..'

Aku hargai semua kata semangat itu, dan kadang hati aku meremehkan semua kata-kata itu. 'Yelah, kamu tak merasai apa yang aku rasa'. Aku lalui hari-hari seterusnya seperti biasa. Apa yang ada dalam hati aku biarlah aku dan Allah sahaja yang tahu. Bilamana ada sahabatku bertanya, "ko macamana, ok?" Lantas jawapan spontan aku, "Tak Ok.." dan biasanya aku iringi jawapan itu dengan senyuman atau gelak tawa. Mungkin orang melihat aku hanyalah bergurau. Ya, aku kuat bergurau, tapi aku tak pandai menipu. Jawapan itu dari hati aku.

Hari ini...

Hari ini, situasi sama berlaku, cumanya watakku berubah. Kini aku pula perlu memberi semangat kepada sahabatku. Hati aku berkecamuk untuk menitipkan kata semangat kepada sahabatku. Tatkala hati berkecamuk, jari jemari pula terasa kaku. Yang bermain dalam fikiranku, "Ahh mungkin apa yang aku bagi ni sama je dengan orang lain bagi," akalku keliru, buatkan aku bermonolog sendirian," Tatkala aku rasa putus asa, tapi aku teruskan juga, apa yang buatkan aku kuat tempuh ujian ini?" Sendirian aku mengelamun.

ITHAR. Itu yang bermain di fikiranku. Tanpa sedar bibirku mengukir senyuman. Tinggal beberapa bulan sebelum aku hadapi peperiksaan kali ini, sekali lagi aku dihujani kata-kata semangat. Tapi kali ini yang aku peroleh adalah sesuatu yang luarbiasa yang telah menyentap ego aku sebelum ini yang memandang remeh kata semangat sahabat-sahabatku.

" Sem depan make sure kat sini, aku mengeluarkan hukum wajib!!" tegur salah seorang pimpinan jemaah yang aku sertai, yang aku hormati.

"good luck study. i have faith in you, kau boleh." tegur salah seorang sahabat seusrah denganku.

Sambil-sambil aku belajar, datang sahabatku, sambil pegang muka ku, "aku nak, tiap kali balik dari jawab exam, aku nak wajah hang dalam keadaan happy,"....

Gila! Ya itulah sahabatku, sangat terus terang, terus dari hati sanubari. Itu belum lagi ku kira harapan menggunung kedua ibu bapaku. Kali ini semangatnya berbeza, perasaannya lain. Buatkan aku bulatkan tekad, tinggalkan segala perasaan yang lama, aku berusaha sehabis baikku. Bilamana diletakkan 'wajib lulus' semestinya ada sesuatu yang dia harapkan dari aku demi kelangsungan gerak kerja kali ini, semestinya dia seorang yang kenal dan menghargai siapa aku. Bilamana dia meletakkan 'I have faith in you' tatkala akupun masih kurang yakin, buatkan aku tersentap, bagaimana orang lain boleh yakin dengan aku. Tatkala sahabatku inginkan aku terus dalam keadaan 'happy' semestinya dia seorang yang sangat mengenali perangai aku ini. Semestinya cukup besar harapan sahabat-sahabatku ini. Tiada masa lagi untukku menoleh ke belakang, langkah terus ke depan.


Ithar...

Ya, sekarang kamu yang merasai kegagalan itu. Ya, benar orang lain tidak merasai apa yang kamu rasai.Tapi ingatlah, yang pasti kamu tidak pernah hadapinya seorang diri. Buat sahabat-sahabatku sekalian, mungkin coretan ini tidak ada letakkan apa-apa ayat Al-quran ataupun hadis, tidak bercakap tentang hikmah, kerana yakin semua itu semestinya telah memenuhi inbox-inbox mesej kamu. Cumanya, harapan agar setiap daripada kamu menghargai setiap ucapan, kata semangat, dan doa mereka. Tatkala orang lain sepatutnya gembira meraikan kejayaan, mereka masih lagi berkorban kegembiraan mereka untuk memberi semangat buat kamu. Tatkala mereka rasa takut dan segan untuk memberikan sedikit kata-kata semangat untuk kamu, mereka sanggup pecahkan tembok itu. Tatkala kamu tidak ketahui bagaimana orang lain rasai bila mendengar berita kegagalan kamu, tatkala itulah mereka ini bermunajat, berdoa pada Allah agar kamu diberi kekuatan, dan peroleh kejayaan selepas ini. Semua ini mereka lakukan tanpa kamu semua sedar.

Kini masanya kamu bangkit dari kelemahan, kesedihan dan kekecewaan ini. Membina semula kekuatan yang pernah kamu miliki. Berapa banyak kisah sejarah lalu mereka yang gagal bangkit kembali berusaha untuk menang. Kisah penawanan semula Palestin dari tentera salib, kisah penawanan kota Konstantin. Kisah orang yang membunuh 100 orang akhirnya bertaubat dan dimasukkan ke syurga dan banyak lagi. Jika kamu rasa putus asa dan kecewa, ingatlah mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan kepada kamu untuk berjaya. Masanya untuk kamu bekorban perasaan kamu, tinggalkan kekecewaan kamu, terus melangkah dan kuat. Bulatkan tekad, usahakan sehabis baik, yang mana semestinya kamu akan rasai keletihan itu dan terpaksa berkorban banyak perkara.

Sekilas pandang, kenapa aku perlu buat semua ini demi orang lain? Kerana kamu meyakini ukhuwah, semestinya kamu mengerti tentang Ithar. Ithar bukan sekadar mendahulukan orang lain dalam membantu dikala punyai masalah, tetapi ithar, memenuhi permintaan, harapan, keyakinan, dan kepercayaan orang lain terhadap kamu, lalu kamu berkorban segala rasa kecewa dan lemah yang kamu rasai kini, dan terus berikan sehabis baik dalam memenuhi harapan itu yang mana semestinya kamu akan rasai keletihan, kesusahan, berkorban banyak perkara deminya. Tatkala kamu berjaya penuhi harapan mereka, tatkala itu kamu juga memenuhi harapan kamu sendiri yang pada suatu ketika kamu rasakan ianya suatu yang mustahil. Ingatlah yang diuji itu tidak lain Allah datangkan dengan pelajaran dan pengajaran yang cukup banyak.

Aku menulis ini kerana sayangnya aku pada kamu, dan kamu, tidak pernah aku tinggalkan keseorangan.......teruskan berusaha, jangan pernah rasa lelah dan kecewa.



Aku adalah yang telah melalui kegagalan itu.

Kamu adalah yang sedang lalui kegagalan itu.

Mereka adalah yang memberi harapan dan meletakkan keyakinan kepada kamu

…..dan ukhuwah, itu antara aku, kamu, Allah, dan mereka….


“Kerana ukhuwah itu terbina, kehidupan jadi luarbiasa…….”

- Shah Hafiz -