Wednesday, 9 July 2014

Tarbiyyah Ramadhan : AMANAH DAN KEPIMPINAN

Selagi kita bergelar manusia di atas muka bumi ini, amanah memang tidak dapat dipisahkan dengan diri kita. Tidak perlu cerita amanah dalam berjawatan atau organisasi tetapi amanah kita yang telah kita janji di hadapanNYA.

Allah swt. berfirman: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul, (Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.” (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).” (Al-A’raf: 172).

Amanah, suatu perkara yang diucapkan ringan, namun dipikulnya amat berat, dipandang ringan bagi kebanyakan manusia, namun dipandang berat bagi orang beriman kerana ianya persyaratan ciri-ciri orang beriman, dan persyaratan terlindung dari ciri-ciri kemunafikan. Inilah hakikat kebenaran yang perlu diletak dengan penuh keyakinan serta kesungguhan dalam menjaga sebesar-besar atau sekecil-kecil amanah yang diberikan kepada kita.

"Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya"[QS al-Mukminun, 23:8]

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tanda orang munafik itu ada tiga macam; iaitu jikalau berkata ia dusta, jikalau berjanji tidak ditepati dan jika dipercaya untuk memegang sesuatu amanah ia khianati." (Muttafaq 'alaih)

Orang-orang beriman yang berjaya dan beruntung yang digariskan dalam surah al-mukminun meletakkan memelihara amanah merupakan ciri orang beriman yang bakal mewarisi syurga firdausi yang semestinya kita harapkan bonus sedemikian, walaupun yang paling utama pengharapan kita kepada rahmat Allah Yang Esa. Orang-orang munafik yang rosak dan binasa yang digariskan dalam sabda Rasulullah perlu kita jadikan sempadan untuk memasuki kawasannya (ciri munafik).

AMANAH SEORANG PEMIMPIN

Kita semua adalah pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin terhadap diri sendiri, namun, ramai tidak mampu memimpin diri sendiri lagi, memimpin diri agar sentiasa berada dalam kebaikan.

"Kamu sekalian adalah pemimpin dan akan diminta dipertanggungjawabkan tentang kepimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah pemimpin ke atas anggota keluarganya. Kamu sekelian adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya."
(HR Bukhari)

"Hai Abu Zar, sesungguhnya pada hari kiamat engkau adalah seorang yang lemah dan sesungguhnya jawatan pemerintahan itu adalah sebagai amanah dan sebenarnya jawatan sedemikian itu adalah merupakan kerendahan serta penyesalan - pada hari kiamat - bagi orang yang tidak dapat menunaikan amanahnya, kecuali seseorang yang mengambil amanah itu dengan hak sebagaimana mestinya dan menunaikan apa yang dibebankan atas dirinya perihal amanah yang dipikulkan tadi. [HR Muslim]

Seorang pemimpin memikul tugas yang berat yang berurusan bukan hanya dengan amanah dari Allah, tapi juga urusan sesama orang pimpinannya. Kita maklumi setiap antara kita akan dipertanggunjawabkan terhadap pimpinan masing-masing, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar pimpinan,semua akan dipertanggungjawabkan. Bahkan Rasulullah SAW menekankan kondisi dan nasib pemimpin yang tidak menunaikan amanahnya dan mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya akan mencapai penyesalan di suatu hari yang pasti akan berlaku dan pasti dibalas segala amanah pemimpin yang dibelakangi jika kita tidak bertaubat.


Kepimpinan atau imamah merupakan kata dasar dari amma an nasa, yang ertinya menjadi pemimpin bagi ramai orang. Pemimpin atau imam dalam bahasa arab sendiri adalah orang yang diikuti atau yang dikedepankan dalam sesuatu urusan. 

Jika seorang pemimpin itu memenuhi syarat-syarat yang baik dan memang layak untuk dipatuhi dan diikuti. Makmum atau pengikut haruslah taat mengikutinya.

"Imam diangkat untuk diikuti, maka janganlah melakukan hal yang berlawanan dengannya. Bila imam bertakbir, maka bertakbirlah.."[HR Bukhori & Muslim]

Bayangkan jika makmum tidak mahu mengikuti imamnya, bila imam rukuk makmum terus sujud, atau imam baru bangun dari sujud, makmum sudah memberi salam, akhirnya, ketika imam memberi salam,hilang semua makmumnya yang lebih awal memberi salam dan menghilangkan diri.

"Tiada Islam kecuali dengan berjemaah, tidak ada jemaah kecuali dengan kepimpinan dan tidak ada kepimpinan kecuali ketaatan."[Sayyidina Umar Al-Khattab]

Dalam Islam, kita telah diajar jelas cara menjadi seorang pemimpin yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita. InsyaAllah kita bersama telusuri beberapa hikmah dalam Islam yang digariskan bagi menjadi panduan kita.

Kriteria seorang pemimpin

Imam dalam solat berjemaah. Cukup indah dan banyak hikmah  pelajaran dalam ibadat ini. Antara ciri seorang pemimpin yang diharapkan kepada semua pemimpin dan bakal pemimpin kita cuba fikir dan amalkan.




1. Beriman dan berintelektual tinggi

Seorang pemimpin harus mempunyai kepandaian, bukan dipilih dengan suka-suka tanpa mengambil kira faktor keimanan dan kepandaian. Bayangkan manusia bodoh memimpin, bagaimana pula manusia yang dipimpinnya kelak?

"yang (paling berhak) mengimami suatu kaum adalah yang paling pandai membaca kitabullah..."[HR Muslim]


Betapa pemilihan imam begitu dititikberatkan dengan meletakkan kriteria-kriteria yang sesuai dengan amanah yang bakal dipegangnya. Ketika kita melihat seseorang pemimpin, jangan melihat kepada luaran atau siapa dia. Ramai mengambil kira faktor siapa yang bercakap ketika nasihat yang baik diberikan. Selagi mana berpegang pada Al-Quran dan Hadis, maka insyaAllah ia tidak akan sesat. Melainkan pemimpin yang memimpin atas dasar nafsu dan kepentingan diri sendiri.




2. Bertanggungjawab dan mementingkan ahli pimpinannya

Tanggungjawab seorang pemimpin bukan mudah. Kesilapan yang berlaku disebabkan pemimpin akan ditanggung oleh pemimpin sendiri, walaupun banyak kita lihat hasil kesilapan seorang pemimpin, ahli pimpinannya menjadi mangsa. Sedangkan yang sepatutnya, pemimpin seharusnya mengorbankan dirinya demi ahli pimpinannya.


3. Prihatin terhadap ahli pimpinannya

Keprihatinan terhadap warga pimpinannya jelas terlihat dalam solat berjemaah, tatkala imam dianjurkan memperhatikan kondisi golongan ahli jemaah, dan sesuaikan solat tersebut dengan mereka, panjang pendek surah yang dibaca contohnya.

Rasulullah SAW berkata kepada Utsman bin Abil Ash : "Engkau ku angkat menjadi imam, dan perhatikanlah orang yang paling lemah di antara kalian.." [HR Abu Daud, At-Tirmidzi & An-Nasa'i]


Pemimpin, perhatikan kebajikan rakyat anda, keperluan mereka, kondisi mereka, maka keprihatinan bukan hanya sekadar tahu, namun bantuan dipraktikkan itu yang utama.

4. Dicintai ahli pimpinannya

Kita tanyakan pada diri kita, selepas memerhatikan sekeliling kita, berapa ramai pemimpin yang betul-betul dicintai oleh ahli  pimpinannya?Bahkan berapa ramai yang dibenci oleh pimpinannya? Pemimpin harus berusaha agar dia dicintai oleh manusia yang dibawah pimpinannya
Bagaimana dicintai seseorang? Pasti kita ada saranannya, samada akhlak kita, keikhlasan kita, kebaikan kita, pertolongan kita dan sebagainya. Bina hubungan dengan ahli pimpinan kita, ziarah dan beri hadiah, minima lemparkan senyuman indah kepada mereka. Bukan kesombongan.




5. Membina penolong dan pelapis

Pemilihan pembantu dalam memimpin juga harus diperhatikan. Seperti makmum di saff berdekatan dengan imam:

"..hendaknya yang ada di belakangku (Shaf pertama bahagian tengah) adalah kalangan berilmu. Kemudian diikuti oleh mereka lebih rendah keilmuannya."[HR Muslim]

Seperti hadith yang disabdakan menunjukkan kriteria pencarian pembantu:
"pilihlah muadzin yang tidak mengambil upah dari adzannya"[HR Abu Daud, At-Tirmidzi & An-Nasa'i]

Agar ketika terdapat sedikit perkara yang boleh dibantu terhadap seorang pemimpin, maka penolong mampu membantunya.

"Rasulullah pernah mengimami kami shalat zohor sementara Abu Bakar di belakang beliau. Apabila Rasulullah SAW bertakbir, Abu Bakar pun bertakbir agar terdengar oleh kami"[HR An-Nasa'i]

6. Tidak sombong dan ada rasa malu

Seperti ungkapan pemimpin bersama rakyat.

"Jika seseorang menjadi imam dalam shalat, janganlah ia berdiri di tempat yang lebih tinggi dari makmumnya atau di tempat yang sejenis itu'{HR Abu Daud]
                                  
Namun sesuaikan dengan keadaan. Jika kehendak memerlukan ianya di tempat tinggi agar yang lain boleh melihat contohnya. Atau berucap agar suara lebih jelas dilontarkan kesemua pendengar.
Seorang pemimpin tidak sombong, bahkan ada perasaan malu yang sering mengawalnya. Seperti kata seorang tabi'in.

"Orang yang ada 4 sifat ini sepatutnya memimpin kaumnya, orang yang mempunyai agama yang akan mempertahankannya, kedudukan yang akan memeliharanya, fikiran yang akan membimbingnya, dan rasa malu yang akan mengawalnya."[Al-Ahnaf Bin Qais]

7. Terbuka menerima nasihat

Bayangkan Imam dalam shalat tidak ingin ditegur, mementingkan ego dan air mukanya, ketika ditegur oleh makmum yang menyedari kesalahannya. Kerana seorang imam juga manusia biasa mampu melakukan kesalahan, sebagai makmum harus menegurnya dengan baik.

Miswar bercerita: "Saya pernah menyaksikan Rasulullah SAW membaca surah dalam shalat, tetapi beliau meninggalkan sebahagian ayat dan lupa membacanya. Maka seorang makmum bertanya seusai shalat:"Rasulullah, bukankah engkau tadi lupa membaca ayat ini dan itu?" Baginda bertanya kembali:"Kenapa tidak engkau ingatkan tadi?" Lelaki itu menjawab:"Saya kira, ayat-ayat itu memang sudah dimansukhkan" [HR Abu Daud]

8. Memberi teladan yang baik

Seorang pemimpin yang hebat mampu memberi teladan yang baik untuk diikuti. Ahli pimpinan sendiri ingin mengikutinya atas dasar apa yang dilihatnya. Pemimpin diibaratkan menjadi gula kepada semut, yang sentiasa dicari oleh ahli pimpinan, atas kebaikan yang terdapat dalam diri.

"Imam diangkat untuk diikuti, maka janganlah melakukan hal yang berlawanan dengannya. Bila imam bertakbir, maka bertakbirlah.."[HR Bukhori & Muslim]

Namun perkara yang diikuti bukan semua, itu yang pasti, ambil yang jernih, buang yang keruh, ambil permata, bukan kaca. Usahakan kebaikan atau teladan yang ingin diperlihatkan, ikhlas. Bukan sekadar lipstik di bibir. Inginkan pujian semata-mata. Bekerja keras ketika ada manusia melihatnya. Mungkin mampu menipu pandangan manusia, namun pandangan Allah perlu diingat. Jangan merasa hebat bila dipuji, namun rendahkan dirimu kembalikan pujian kepada Allah.

"Janganlah engkau terpedaya dengan pujian manusia kerana manusia hanya tahu luaran sahaja"[Al-Rabi' Bin Khulthaim]

9. Berjuang mencapai matlamat

Janji yang ingin diperjuangkan tidak akan tercapai dengan sendiri kerana mimpi tidak akan menjadi kenyataan jika kita asyik tidur, tetapi BERUSAHALAH. Kejayaan tidak akan diperolehi jika hanya tangan di dalam poket dan yang pasti, semua perkara adalah sukar sebelum ia menjadi mudah. Namun, pemimpin berani mungkin akan kalah, tapi tidak akan mengalah.

Letakkan matlamat anda, kemudian fokuskan diri dan ahli pimpinan anda mencapainya.

"Set goals and make sure people focus on it"[Warren Buffet]

Namun mungkin kita tidak dapat melihat natijah dari perjuangan kita ketika kita memimpin, namun, sesungguhnya kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya. Aturlah masa dengan baik di atas amanah yang besar.

"Tanggungjawab yang kita ada melebihi masa yang kita ada"[Hasan Al-Banna]