Gegak-gempita
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudahpun berakhir, siapa yang menang dan
membentuk kerajaan juga telahpun diketahui,
pun begitu, gegak gempita itu kini disambung pula dengan siri-siri
himpunan ‘Blackout 505’ sebagai membantah penipuan-penipuan dan ketidakadilan
yang berlaku sepanajang PRU13 yang lalu. Sambil-sambil merehatkan diri,
tiba-tiba rasa rindu dengan suasana PRU-13 yang lepas. Banyak siri-siri
ceramah, video-video promo yang menghiasi ‘page-page’
Facebook, blog dan sebagainya. Penulis salah seorang yang selalu ‘update’ maklumat-maklumat terbaru
tentang PRU-13. Cukup sekadar menjadi pemerhati dan menimba maklumat, tidak
sampai tahap berada dalam golongan yang dikatakan ‘keyboard warrior’ sepanjang PRU-13.
Belum selesai
solat sunatnya, dirinya sudahpun dikerumuni dan dinanti-nantikan oleh ribuan
jemaah yang hadir ketika itu. Entah kenapa, perasaan ketika melihat suasana ini
seperti semut yang mengerumuni gula, melihat jemaah yang hadir ketika itu
seolah-olah sangat merindui dan menantikan kehadiran Tok Guru dan peluang itu
tidak dilepaskan mereka. Mungkin inilah penangan kehebatan seorang ulama yang
di media perdana seringkali difitnah dan dihina, tetapi hakikat Tok Guru adalah
idola semua rakyat, ulama yang sangat dihormati dan disayangi rakyat. Pernah
menjadi pemimpin Islam ke-42 paling berpengaruh di dunia, satu-satunya negeri
di negara ini yang bebas dari isu-isu pecah amanah, rasuah selama
pemerintahannya, seorang pemimpin yang cukup dekat dengan rakyatnya, sangat
merendah diri dan zuhud. Maka tidak hairanlah Tok Guru seorang yang cukup
dihormati dan disegani kawan mahupun lawan.
Bukanlah mahu
terlalu mengagung-agungkan Tok Guru, bukan juga mahu berbicara berkenaan PAS
ataupun politik, cuma menjadi tanda tanya, apakah yang membuatkan seorang tua,
berpanku tongkat dan jalannya dilihat lemah, tapi cukup dirindui, dicintai
ramai orang sehingga sanggup berasak-asakan semata-mata mahu melihat sosok Tok
Guru ? Sesuatu yang sukar dilihat pada pemimpin lain pada hari ini.
Nilai Islam
Pada hari ini
seringkali kita dengar kata-kata yang mana, “Jika
mahu faham Islam tu, jangan tengok pada orangnya, tapi pelajarinya dari
Al-Quran dan Sunnah”. Seringkali juga ucapan Saidina Ali yang berbunyi, “…jangan lihat siapa yang bercakap, tapi
dengarlah apa yang diucapkan”, ini digunapakai ramai orang pada hari ini.
Perlu difahami bahawa Saidina Ali mengeluarkan ucapan sedemikian adalah kerana
keadaan perpecahan umat ketika itu yang cenderung taksub kepada individu
tertentu, sekaligus membuatkan assobiyah yang tinggi, lantas menutup dan
mengongkong pemikiran mereka, tetapi malangnya ramai yang menggunakannya
sebagai alasan untuk tidak melihat atau menjadikan dirinya sebagai contoh
kepada seorang muslim itu.
Ungkapan-ungkapan ini pada hari ini menjadi kebiasaan
diucapkan oleh bukan sahaja muslim kebiasaan tetapi juga oleh ramai
penceramah-penceramah agama. Apa yang ditakutkan adalah bagaimana kritikalnya
gambaran Islam yang dibawa oleh muslim itu sendiri seolah-olah Islam itu tidak
mampu dipikul dan diamalkan oleh manusia.
Inilah masalah
besar umat yang berlaku pada hari ini, walaupun secara luarannya pelaksanaan
Islam itu dilihat berjalan, hakikatnya, roh, nilai Islam itu lemah dan tidak
terpancar pada peribadi muslim itu sendiri. Ramai yang melihat Islam hanya pada
rutin ibadahnya iaitu solat, puasa, zakat, haji, tetapi tidak mengambil
pengajaran daripada nilai ibadah itu yang mengajar nilai-nilai Islam dalam
pemikiran, disiplin diri, berakhlak mulia, amanah, berlaku adil, berucap dan
berbahas dan banyak lagi aspek kehidupan ini. Nilai Islam inilah yang ada dan
terpancar pada peribadi Tok Guru, menjadikan dirinya seorang yang sangat
dihormati samada kawan atau lawan.
Tarbiyah Nabi
Muhammad s.a.w
Kadang
tertanya-tanya, ketika zaman Nabi s.a.w. ,apa yang membuatkan masyarakat ketika
itu percaya dengan Islam yang dibawa Nabi s.a.w seterusnya memeluk Islam?
Sambil tidak menafikan pakej Islam itu sendiri sebagai faktor penyumbang,
tetapi kenapa ianya disandarkan di atas bahu Nabi s.a.w? Apakah faktor lain
yang ada pada diri Nabi s.a.w itu sendiri yang menjadi penyumbang kepada
tersebarnya Islam pada zaman itu?
Maka lihatlah
pada tarbiyah Nabi s.a.w itu sendiri. Nabi s.a.w sebelum diangkat dan bergelar
sebagai seorang nabi, telah ditarbiyah terlebih dahulu oleh Allah s.w.t dengan
nilai-nilai Islam. Lihat sahaja di usia kecilnya, ketika masih lagi
kanak-kanak, baginda sudahpun mengikuti rombongan perniagaan bapa saudaranya,
Abu Talib ke Syam. Baginda juga telah terlibat dengan pekerjaan sebagai seorang
pengembala kambing bagi membantu keluarga ayah saudaranya yang susah. Pada umur
remajanya pula, baginda diberi kepercayaan oleh Saidatina Khadijah (akhirnya
bergelar isteri baginda), untuk menguruskan misi perdagangan perniagaan
Saiditina Khadijah sehinggakan semua barang dagangan itu habis dijual.
Peribadinya
pula seorang yang sentiasa menjauhi diri dari perkara yang mungkar, sentiasa
membawa diri menyendiri di gua Hira’ sebagai tempat bermunajat dan memikirkan
keadaan semasa masyarakat. Baginda juga pada awal 20an telah mendirikan
Hilfil-Fudul, satu badan berkebajikan membantu orang-orang miskin dan
teraniaya. Malah baginda juga diberikan kepercayaan untuk menyelesaikan masalah
peletakan batu Hajarul Aswad selepas pembinaan semula Kaabah yang rosak teruk
ketika banjir melanda.
Lihat sahaja
tarbiyah yang baginda lalui. Lihat sahaja nilai peribadi yang baginda punyai.
Seorang yang cukup amanah, jujur, cerdas, berkredibiliti, mengambil berat,
kepimpinan yang hebat, bercakap benar, dan sangat dipercayai masyarakat ketika
itu. Lantas, belumpun baginda diangkat menjadi nabi, baginda sudahpun dikenali
masyarakat dengan gelaran Al-Amin. Maka tidak hairanlah, dengan nilai-nilai
yang ada dan terpancar ada susuk baginda s.a.w ini, menjadi antara faktor
bagaimana baginda s.a.w sangat dihormati dan dipercayai masyarakat, dan
kesannya, Islam yang dibawa baginda s.a.w ketika itu diterima dan diyakini dan
terus tersebar luas.
Hidupkan Nilai Islam Dalam Diri
Disini bukanlah
untuk membandingkan dan samatarafkan diri Nabi s.a.w dan Tok Guru, jauh sekali
mahu mengagung-agungkan dan taksub kepada Tok Guru. Tetapi pengajaran yang boleh
diambil disini adalah apabila nilai Islam pada diri ditegakkan, maka akan
muncul pancaran Islam pada diri itu.
Mengambil kata2 Kata-kata Imam Hasan Al-Hudaiby,
“Tegakkan Daulah Islam Dalam Diri
Kamu, Nescaya Ia Akan Tegak Di Atas Bumi Kamu”.
Ayuh kita sama-sama gerakkan Islam dalam diri kita.
Ayuh tegakkan Islam dalam diri kita, dari semua aspek kehidupan kita. Mungkin
ada yang melihat mustahil untuk dapat melaksanakan semuanya, kerana diri ini
bukanlah maksum, kerana diri ini hanyalah manusia yang lemah dan penuh
kekurangan. Ketika kecil, kita melihat solat 5 waktu adalah sesuatu yang berat
untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan puasa, menutup aurat dan banyak lagi.
Tanpa kita sedar, selepas hari demi hari kita amal dan kita lalui, sesuatu yang
dulunya dilihat susah, berat, kini menjadi kebiasaan malah menjadi sebahagian
daripada keperluan hidup kita.
Maka, dalam melengkapkan diri kita dengan
nilai-nilai Islam, bukan mustahil yang perlu kita lihat, tetapi usaha yang istiqamah perlu digerakkan kearah setiap hari
dan setiap masa yang kita lalui menjadikan diri kita sentiasa lebih baik dari
semasa ke semasa.
Menjadi Lebih Baik
Apa itu ‘baik’?
Patuh pada allah dan rasul, tapi caranya mungkin berbeza antara satu sama lain.
Jika diminta untuk didefinasikan ‘baik’ itu, sudah tentu pelbagai definisi akan
diberikan. Tiada suatu kriteria yang tetap bagi seseorang itu menyatakan bahawa
dirinya sudah baik.
Tetapi apa yang
cukup menguntungkan kita pada hari ini adalah peluang kita hidup pada hari ini.
Ya!! Pada hari ini!! Sekarang ini!! Pada ketika anda semua pembaca membaca
artikel ini!! Kenapa ianya sangat menguntungkan? Kerana kita ada pada hari ini,
bermakna kita telah lalui kehidupan hari semalam, kita mempunyai pengalaman yang
telah kita lalui pada hari semalam. Itu
adalah pelajaran yang sangat besar dan berguna pada diri kita hari ini.
Pelajaran yang membuatkan kita pada hari
ini tahu dan kenal diri kita, di mana lagi pada diri ini yang masih tidak
mencapai piawaian ‘baik’. Pelajaran yang memberikan peluang pada kita pada hari
ini untuk memperbaiki kesilapan kita, seterusnya menjadikan hari ini lebih baik
daripada apa yang dilalui semalam.
Maka, pengalaman
pada hari ini, janganlah kita lupakan. Ingat!! Jangan lupakan!! Kerana hari ini akan menjadi
pelajaran baru pada kita untuk hari esok, merancang diri menjadi lebih baik
daripada apa yang telah kta lalui pd
hari ini. Dan begitulah setiap hari dan hari-hari seterusnya yang bakal kita
lalui sesuai dalam menyahut seruan Nabi s.a.w. yang berbunyi,
“Barangsiapa
yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng
beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari
kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam,
maka dia di kalangan
orang yang celaka”
Untuk itu,
perkara pertama yang perlu dilakukan adalah ubah sudut pandang kita tentang
agama, tentang Islam itu sendiri.
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama
Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan;
sesungguhnya Syaitan memang musuh kamu yang nyata.
(Al-Baqarah :
208)
Dari sudut kacamata
ramai muslim pada hari ini melihat agama hanya sekadar dari sudut amalan ibadah
semata-mata. Islam adalah cara hdup, menjadi seorang muslim bererti mengamalkan
Islam dalam setiap sudut kehidupan kita. Jika kita pada hari ini sekadar
melihat Islam pada amalan ibadah, tetapi roh dan nilai-nilai Islam tidak
dihayati dan diamalkan dalam pembentukan akhlak, perilaku,pemikiran, keupayaan,
amanah, keadilan dalam setiap perkara yang dilakukan, maka kita akan melihat
sekular itu bukan sekadar mengasingkan dunia dengan agama, tapi lebih teruk daripada
itu, dalam agama itu sendiri diserang dengan ‘sekular’nya apabila pengertian agama
itu sendiri disempitkan dalam pengamalan seharian.
Penutup
‘Sekular’ dalam
agama, apabila roh dan nilai Islam dalam ibadah diasingkan daripada pengamalan
ibadah itu sendiri. Hentikan diri kita daripada terus menjadi fitnah kepada
agama yang diredhai Allah s.w.t ini dengan membaiki diri dan menyiapkan diri
dengan pancaran nilai-nilai Islam.
Wallahu'alam.
5apik