Saturday 23 March 2013

Buat Sang PENDAKWAH… Tetaplah Kalian



Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata:  "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham) : "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. 
(Surah Fussilat : 30)



  1. Sejak diri ini belum dilahirkan ke dunia, sudah tersiap dua tanggungjawab buat mereka yang bergelar manusia. Tanggungjawab yang sudahpun diketahui umum, terutama mereka yang bernama muslim. Tanyalah siapa sahaja, “apakah tugas kamu di muka bumi ini ?” semestinya jawapan yang diberikan adalah sebagai hamba dan khalifah.


  1. Ya, sebagai hamba dan khalifah. Hamba iaitu dengan beribadah kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Esa, khalifah pula sebagai pemimpin, pengurus dunia ini sesuai dengan misi Islam itu diturunkun sebagai agama rahmatan lilaalamin.



  1. Realiti pada hari ini, ramai yang berfungsi sebagai hamba, tetapi sangat sedikit mereka yang melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah. Menjadi khalifah yakni sebagai pemimpin, memerlukan sesorang itu bukan sahaja memikirkan hal-hal berkaitan dirinya dengan Allah s.w.t semata-mata, tetapi lebih dari itu, memerlukan seseorang itu memikirkan tentang orang lain, memikirkan dan mengambil berat berkenaan Islam dan masalah umat.


  1. Memikirkan tentang umat, mungkin tidak terjangkau dek kemampuan kita, tetapi dengan memikirkan perkara itu dalam radar rakan-rakan dalam satu pengajian yang sama, ataupun tempat kerja yang sama  adalah memadai menunjukkan tanggungjawab yang dijalankan sebagai khalifah ini menerusi kerja-kerja dakwah yang dijalankan.



  1. Apa sahaja gelaran, samada sebagai pendakwah, ahli gerakan atau jemaah, seorang naqib atau naqibah, maka beruntunglah kalian kerana berada di lapangan pelaksanaan tanggungjawab sebagai khalifah ini.


  1. Apabila bergelar ahli gerakan, mahupun sebagai naqib dan naqibah, semestinya banyak ujian yang dihadapi. Ujian paling besar adalah hadir dari dalam diri individu itu sendiri. Persoalan seperti, “Layakkah aku berada dalam jemaah ini?”, “Layakkah aku bergelar naqib/naqibah?” Lebih dari itu, ada yang merasakan keberadaan mereka di lapangan dakwah ini adalah satu kesilapan, dirinya dipaksa oleh rakan-rakan yang lain, atau mungkin ‘saja-saja’ mahu mencuba benda baru. Apapun persoalannya, yakinlah bahawa diri ini mampu melaksanakannya dan apapun alasan yang diberikan yakinlah bahawa itulah caranya diri ini ‘dipilih’ Allah s.w.t untuk berada di lapangan ini.


  


  1. Lumrah berbuat baik, semestinya akan diuji oleh Allah s.w.t. Semakin besar kebaikan yang dilakukan, semakin besar ujian yang akan dihadapi. Ujian ini tidak lain sebagai ujian menilai keampuhan iman disamping meningkatkan dan menguatkan lagi iman, pegangan, ikatan dengan Allah s.w.t.


  1. Lihat sahaja bagaimana kisah penurunan wahyu pertama, pertabalan Muhammad s.a.w sebagai nabi dimana peristiwa tersebut terakam di gua Hira’. Sekembalinya Nabi s.a.w dari gua Hira’, di pangkuan isterinya, Siti Khadijah, Nabi s.a.w dalam keadaan berselimut, menggigil ketakutan, dengan amanah yang dipikulkan oleh Allah s.w.t kepadanya yang ditrurunkna dengan perantara Jibril a.s. Begitulah juga kisahnya dengan pelantikan Umar Abdul Aziz sebagai khalifah dimana beberapa hari selepas pelantikan beliau, dihadapan khalayak rakyat ketika itu, Umar bangun menegaskan bahawa, “Aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu, tetapi akulah yang paling berat beban yang dipikul,” lantas Umar duduk, dan menangis kerana terasa berat beban tanggungjawab sebagai khalifah.



  1. Ya, memang berat tanggungjawab ini. Sebuah tanggungjawab yang bukan sahaja di dunia ini sudah dipersoal oleh rakan-rakan, orang ramai, tetapi lebih daripada itu, di depan Allah s.w.t di hari perhitungan mahsyar kelak, tanggungjawab yang dipikul di dunia ini akan dinilai oleh Allah s.w.t yang maha teliti dan sempurna penilaianNya.


  1. Tetapi, adakah Nabi s.a.w kekal dalam keadaan berselimut ketakutan? Adakah khalifah Umar Abdul Aziz kekal dalam keadaan menangisi bebanan yang berat dipikulnya? Semestinya TIDAK, malah mereka tetap dan teguh serta istiqamah melaksanakan tanggungjawab yang dipikulnya.



  1. Nabi s.a.w, sebagai khatimul anbiya’ adalah individu yang paling berat tanggungjawabnya. Sebagai nabi dan rasul bagi umat akhir zaman, smestinya tanggungjawab baginda cukup besar dalam meletakkan pasakan Islam yang kukuh. Nabi s.a.w bukan sahaja perlu memastikan Islam itu bekembang di zamannya, tetapi lebih dari itu, Islam yang dipasakkan oleh baginda s.a.w mestilah berkembang dan terus bertahan sehingga tarikh akhir dunia ini. Alhamdulillah, walaupun sudah lebih 1400 tahun jaraknya diri pada hari ini dengan perjuangan Nabi s.a.w, Islam masih lagi bertahan dan terus berkembang dan diri ini bertuah dan bersyukur menjadi sebahagian daripada mereka yang bergelar muslim.


  1. Walaupun Nabi s.a.w adalah kekasih Allah, tetapi Nabi s.a.w jugalah orang yang paling banyak dan berat ujian yang ditimpanya. Kekasih Allah, bukanlah tiket untuk Nabi s.a.w hidup senang lenang di dunia ini, malah Nabi s.a.w memilih kesenangan dan kebahagian hidup di akhirat yang kekal kelak. Ini sebagai bukti bahawa, orang yang paling dekat dengan Allah s.w.t adalah orang yang paling banyak dan berat ujian yang Allah s.w.t turunkan keatasnya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta. "
(Surah Al-Ankabut: 2-3)


  1. Oleh itu, sememangnya berada di jalan ini akan banyak ujian yang akan dihadapi. Samada ujian itu datang dari diri sendiri, ataupun ujian yang datang daripada tentangan ataupun mereka yang tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan disamping menghadapi mereka yang tidak mahu menerima pendekatan dan penyampaian dakwah yang dilaksanakan.

"demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."
(Al-Baqarah:155)


  1. Ya, memang berat tanggungjawab ini, tetapi yakinlah bahawa tanggungjwab ini datangnya dari Allah s.w.t. Semestinya Allah s.w.t tidak akan sesekali membebankan umatNya dengan bebanan yang tidak mampu dipikul malah Allah s.w.t tidak akan sesekali membiarkan umatNya keseorangan dalam tanggungjawab dakwah ini.



  1. Untuk itu, Allah s.w.t menurunkun kalamNya, Al-Quran, sebagai panduan kepada umat manusia hidup dan menjalankan tanggungjawab yang dutuskan ke atas mereka. Allah s.w.t utuskan Nabi s.a.w sebagai rujukan dan ikutan, contoh teladan untuk umat manusia.


  1. Panduan sudah tersedia, yang dituntut hanyalah ketetapan dan istiqamah  dari diri mereka yang bergelar sang pendakwah ini. Istiqamah dari sudut tarbiyah diri, dengan sentiasa membaiki hubungan dengan Allah s.w.t dan Nabi s.a.w serta hubungan sesama manusia yang lain.  Mempelajari dan menguasai ilmu yang tidak terbatas hanya pada kurikulum pengajian di dewan kuliyah. Tetap dan sabar dengan segala ujian yang mendatang yang sepatutnya mereka ini sudah menjangkakan hal berkenaan ujian-ujian ini sedari kaki ini melangkah masuk ke lapangan dakwah dan sudahpun bersedia menghadapinya. Maka ini semua akan membuahkan ketetapan dan istiqamah diri untuk sentiasa berada dalam gerakan dakwah.


"Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada seorang pun selain engkau. Baginda bersabda, "Katakanlah, "Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah (jangan menyimpang)."
(Hadis Riwayat Muslim)



Sudah menjadi resam dalam gerakan dakwah ini, akan senantiasa diuji. Tanggungjawab ini cukup berat untuk dipikul, hinggakan perbandingan yang dibuat Allah s.w.t. tidak terpikul oleh gunung malah gunung boleh hancur dek kerana berat beban tanggungjawab ini. Hakikat ini disedari sendiri oleh para pendakwah, tetapi apa yang berlaku, ramai yang tahu tentang berat beban dan ujian di medan ini tetapi ramai juga yang tidak menggunakan ‘tahu’ itu untuk membuat persediaan dan untuk sentiasa dalam keadaan bersedia. Lantas kita melihat ramai yang apabila melangkah ke medan ini membuat pusingan ‘u’, menjauhkan dan melarikan diri dari medan dakwah ini. Rohani, jasmani, mental dan semangat perlu sentiasa bersedia dan bersatu. Di dalam berat beban ini, ingatlah bahawa, Allah s.w.t itu tidak menzalimi hambaNya lalu diberikan hambaNya panduan dan rujukan, dan tidak membebankan sesuatu itu melebihi kemampuan hambaNya kerana sesungguhnya Allah s.w.t itu maha mengetahui akan sesuatu hal sedangkan kita tidak mengetahui. Dengan pahit payah dunia yang sementara ini lah, dikurniakan pahala yang berlipat ganda, diteguhkan iman, mengangkat darjat dan kemuliaan mereka, untuk mereka mengecapi manis keseronokan dan kebahagiaan hidup di ahirat yang kekal kelak. Mungkin apabila membaca artikel ini, ada yang sedang ‘dilema’ untuk melangkah ke medan dakwah ini. Tanyalah pada diri sendiri, adakah aku ini sudah benar-benar menjadi hambaMU ya Allah??  


Sesungguhnya agama ini mudah, 
tidaklah seseorang berlebih-lebihan dalam menjalankan agama kecuali ia akan keberatan sendiri. Tepatilah kebenaran atau apa-apa yang mendekatinya, berilah khabar gembira, dan pergunakanlah waktu pagi, waktu petang dan malam hari untuk memudahkan perjalananmu.
(H.R. Bukhari)




Nukilan : 5apik

No comments:

Post a Comment