Sunday 24 February 2013

Zuhud vs Wahan


“Wahai wanita.. Ketahuilah, menggemari dunia itu meletihkan…Sedangkan zuhud dunia itu merehatkan…”

Ada sesetengah perkara yang memang kita mahu.

Mahu yang amat sangat. Maka kita minta pada Allah agar berikan.

Minta dan minta

Kemudian tunggu

Segala amal makruf nahi mungkar kita telah lakukan untuk mendapatkannya


Kemudian
Kita minta lagi
Dan tunggu.
Tunggu lagi
Tunggu lagi dan lagi
Kemudian kita tak dapat apa-apa
Kosong
Kemudian kita menangis
Kerana fitrah kita berhati lembut


Saat sedang bersedih, kita tengok orang lain yang dapat. Kita? Kosong. Maka kerana kita wanita yang diciptakan beremosi, fikiran jahat mula menyalahkan diri dan bersedih, mempersoalkan nikmat Tuhan..

Sangka kita, mungkin itulah namanya takdir, bukan rezeki.

Lepas beberapa ketika, kita mula lupa apa yang pernah kita minta dahulu. Meneruskan hidup seperti biasa dan bahagia melupakannya.


Tiba-tiba
Tanpa disangka,
Terasa mahu perkara lain pula
Err…

DUNIA

Takkan pernah mampu menghilangkan dahaga nafsu
Takkan pernah cukup dengan apa yang ada
Takkan pernah cukup yang pastinya
Apa sebenarnya yang kita mahukan?

SEMUA

Kan?
:)


Itulah fitrah wanita, yang mempunyai 9 nafsu dan 1 akal!

Namun, kadangkala apabila kita dapat apa yang kita mahukan, kita rasa segala penat lelah usaha yang dilakukan amat berbaloi dan sangka kita,  itulah hadiah yang datang dari Tuhan.
Wah gembiranya…

Begitu gembira sehingga merasa diri bertuah jika dibandingkan dengan orang lain.


Tapi kita terlupa,
Kadang-kadang apa yang kita TAK dapat,
Itulah sebenarnya nikmat
Dan apa yang kita DAPAT
Itulah sebenarnya ujian.


Kata Nabi,
Kena zuhud terhadap dunia, baru dicintai Allah.
Dan kena zuhud terhadap apa yang dimiliki orang, barulah dicintai orang.
:)

ms

Friday 15 February 2013

Membuang Kejanggalan TARBIYAH



Usrah dah nak dekat, tajuk nak dibawa adalah berkenaan tarbiyah, Sambil membelek silibus tarbiyah, terbaca sebuah perenggan berbunyi :

"Tarbiyah Islamiyah didefinisikan sebagai suatu usaha yang berterusan untuk mengislamkan kesuburan tubuh badan (kesihatan dan kecergasan fizikal), pekerti, roh dan akal fikiran. Ia juga bertujuan untuk menyempurnakan akhlak yang memungkinkan manusia itu hidup di dunia ini dalam keadaan baik dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti”.

Lalu aku menggelengkan kepala, silibus ini terlalu berat untuk aku ‘hadam’ dan untuk aku sampaikan, aku berfikir sejenak memikirkan bagaimana untuk menyampaikan tajuk ini dengan ringkas dan berkesan.

Tarbiyah, satu perkataan yang tidak biasa didengar oleh orang kebanyakan, dilihat ‘eksklusif’ di mana ianya hanya bermain di bibir-bibir agamawan, memberatkan lagi kepala aku memikirkan cara yang sesuai menyampaikannya. Aku mengelamun panjang, lantas aku teringat suatu peristiwa di dewan kuliyah.

"Sebagai bakal doktor, kamu semua perlu menjadi seorang yang berdisiplin...", itulah antara ungkapan daripada pensyarah-pensyarah yang sering bermain di telinga aku dan rakan2 yang berada di dalam kursus perubatan ini, malah aku yakin apa-apa kursus pengajian sekalipun, hatta seorang yang kita lihat hanya sebagai seorang tukang cuci, semestinya mereka juga selalu diingatkan berkenaan disiplin kerjanya.

"Hmm..disiplin...," tak sempat aku bergumam panjang, pensyarahku menyambung celotehnya.

"Jangan sesekali ponteng tanpa alasan, jangan lewat, sentiasa menepati masa, berpakaian kemas dan perlu bersikap profesional dalam setiap perkara," sambungnya.

Ya betul, datang kelas ikut masa yang ditetapkan, pakaian kemas, cara bergaul, cara bercakap dengan patient semua perlu dijaga. Kelakuan, akhlak, semua ini adalah disiplin yang selalu ditekankan, sebelum terjun ke dalam bidang yang dikatakan professional ini. Kualiti adalah perkara yang sangat penting!

Aku cuba kaitkan ungkapan itu dengan tajuk tarbiyah ini, hakikatnya, ‘disiplin’ diri yang sering dimomokkan oleh cikgu, pensyarah, majikan dan sebagainya, hanyalah sebahagian kecil dari skop tarbiyah itu.

Jika dipecahkan skop tarbiyah itu, ‘disiplin’ ini hanya merangkumi tarbiyah dari sudut akhlak dan sebahagian dari sudut ilmu. Bagaimana pula tarbiyah dari sudut roh, tarbiyah untuk tubuh badan, tarbiyah dari sudut jihad, dari segi siasah??

“Hmm..," aku menghela nafas panjang.

Disiplin hanya sebahagian kecil dari skop tarbiyah Islam. Kalau yang kecil ini pun sukar bagi sesetengah orang untuk mendisiplinkan dirinya, apatah lagi untuk mengikuti guideline tarbiyah yang dianjurkan oleh Islam.

Aku membelek lagi silibus tarbiyah itu.

“Emm, tarbiyah ruhiyah, solat fardhu dan ibadah sunat, tarbiyah jasadiyyah, menjadi sihat, cergas, tarbiyah jihad, kesediaan perjuangkan Islam”, lalu aku mengukir senyuman tanpa sedar.

Melihat di atas kertas, memang cukup sukar untuk betul-betul melaksanakan agenda tarbiyah ini. Ttetapi tanpa sedar, banyak perkara yang dilakukan seharian sebenarnya sudah terangkum dalam tarbiyah Islam ini.

Solat fardhu, solat sunat, ibadah sunat seperti puasa sunat, zikir dan selawat, tadarus Al-Quran, Alhamdulillah, aku yakin semua ini menjadi kebiasaan aku dan rakan-rakan serta adik-adik usrah. Dan ini sebahagian daripada tarbiyah ruhiyah itu. Cuma tambahan dilakukan dari sudut kualiti seperti solat diawal waktu dan berjemaah, bukan sekadar tadarus tetapi juga tadabur Al-quran, dan istiqamah dengan amalan-amalan ini. Amalan-amalan ini merupakan ‘makanan’ iman, menguatkan lagi ikatan kita kepada Allah s.w.t.

Setiap petang aku bermain futsal bersama rakan-rakan, melihat suasana waqi' aku disini, amalan bersenam adalah suatu budaya, ada yang bermain volleyball, ada yang jogging, ada yang berbasikal, ini semua adalah untuk menjaga kesihatan dan kecergasan tubuh badan selain menghilangkan stress selepas seharian di dewan kuliyah. Ini semua adalah terangkum dalam  tujuan yang ingin dicapai menerusi tarbiyah jasadiyyah. Apa yang selalu diabaikan dan  perlu ditambah dan ditekankn adalah dari sudut pemakanan. Makanan bukan sahaja halal, tetapi juga baik. Baik adalah cukup, sihat dan berkhasiat sesuai dengan diri masing-masing. Ini adalah penting untuk melahirkan tubuh badan yang sihat.

Tarbiyah aqliyyah, makanan untuk akal memimpin cara fikir seseorang. Pelajaran daripada dewan kuliyah serta menerusi rutin harian di wad, lebih tertumpu kepada bidang pengajian yang diambil. Sebagai penambahan, perlu juga diri dilengkapi dengan ilmu berkenaan fiqh perubatan. Selain itu, tidak hanya tertumpu kepada buku perubatan dan dewan kuliyah semata-mata, tetapi juga melengkapkan diri dengan ilmu agama, bertadabur Al-quran, mengaji hadis-hadis,  mengambil tahu isu-isu semasa menerusi akhbar, berita, majalah dan sebagainya serta mengikuti kuliyah-kuliyah ilmu agama dan menghadiri sesi usrah bersama agar ilmu itu bertambah, bercambah dan berkembang seterusnya melahirkan muslim yang kompeten.



Tarbiyah ruhiyah, jasadiyah dan aqliyyah merupakan sebahagian daripada skop tarbiyah Islam. Profesionalisme seperti penekanan terhadap disiplin menepati waktu, keterampilan yang kemas, tutur kata yang sopan, pergaulan yang baik, berakhlak mulia, ini semua terangkum di dalam tarbiyah khuluqiyah yakni penekanan terhadap akhlak itu.

Manifestasi keseluruhan skop tarbiyah ini secara praktikal merupakan tarbiyah jihad. Emm..senangkan, sebahagiannya tanpa sedar sudahpun kita semua lakukan, malah ianya sudah menjadi kebiasaan harian kita.

Hanya sedikit penambahan dan penambahbaikan kepada amalan seharian kita bagi memenuhi ciri tarbiyah Islam itu. Disiplin di dewan kuliyah penekanan adalah untuk menyediakan kualiti bagi seorang profesional.

Tarbiyah Islam, adalah untuk mendidik menjadi disiplin bukan sekadar memenuhi kehendak profesionalisme, malah melahirkan muslim yang profesional dan berdisiplin seterusnya menonjolkan imej seorang muslim yang sebenarnya.

Mendisiplinkan diri adalah tarbiyah diri.
Segala perkara baik yang dilakukan seharian juga adalah tarbiyah diri,
Segala usaha memperbaiki diri  adalah tarbiyah diri. Dimana-manapun proses tarbiyah ini berjalan, menjadi muslim beriman dan sejati, bahagia di dunia, mendapat rahmat dan redha Allah di akhirat.

Segala usaha mencegah dan mengelak diri dari melakukan dosa dan maksiat adalah tarbiyah diri.
Maka tarbiyah adalah menjalani kehidupan dengan baik.

Ramuannya NIAT yang betul, BERSERAH kepada Allah, dan ISTIQAMAH.

Ayuh sama-sama menjadi orang yang membaiki diri.
Wassalam

Nukilan : 5apik

Sahabat Melebihi Sahabat


Setiap kali tinggal berjauhan dengan keluarga, teringat ketika bersekolah dulu perlu tinggal di asrama. Begitu juga sekarang, semasa berada di universiti, juga tinggal di asrama, jauh dari keluarga yang tersayang.

Kebanyakan  mesti pernah melalui pengalaman, diawal-awal berjauhan daripada keluarga, kaki ini pasti berat untuk melangkah, hati ini sepi, perasaan bercampur-campur, almaklumlah ‘baiti jannati’.

Lama-kelamaan mulalah bersahabat, semakin hari semakin ramai sahabat, semakin rapat, malah semakin hari semakin cintakan mereka, “Oppss...cintakan sahabat-sahabat kita la...kamu semua jangan fikir bukan-bukan” Sejak bersahabat ini, ada yang bertanya dengan nada sinis, “Mana keluarga? Dah tak rindu ke?”

Alamak, bukan macam tu la, rindu tu rindu, mana boleh tak rindu, usrati jannati. Kamu jangan suka-suka nak duga hati ni, nanti tak pasal-pasal homesick, maka husnudzon lah ye.

Hakikatnya dalam hidup ini, kita perlu realistik, berada di asrama, apabila celik mata, yang pertama kita nampak adalah roommate kita, abila buka pintu untuk ke bilik air, terserempak pula dengan  jiran-jiran yang juga rakan satu kuliyah kita. Banyak masa ketika belajar ini sebenarnya  kita lebih rapat dengan sahabat, lebih banyak bergaul dengan sahabat, apa-apa masalah, yang paling dekat untuk kita semua cari tempat mengadu adalah, “haaa ALLAH SWT!!”.

Yang itu memang tak boleh dinafikan. Tetapi begitu Allah sayangkan kita, Dia tidak pernah tinggalkan kita keseorangan, walaupun kita jauh daripada keluarga. Allah telah gantikan ruang yang kosong itu dengan sahabat-sahabat yang baik dengan kita semua.

Merekalah keluarga kita di sini.

“Eh, sekejap sahabat sekejap keluarga,  ayyo PENINGLAAA!!”

Ada yang pening? Tak lah, tak ada apa yang perlu dipeningkan dengan statement ini. Ya memang benar, sahabat itu boleh jadi sebahagian daripada keluarga kita. “Erkk kamu nak aku KAHWIN dengan kawan aku tu ke??”

Eh bukan macam tu (tapi kalau ada berkenan dengan mana-mana kawan yang ada apa salahnya). Baik, sebenarnya ada 3 ciri yang perlu ada pada seseorang untuk orang merasai kehadiran dia dalam hidup sahabatnya seolah-olah satu keluarga.



Ciri yang pertama adalah KENAL. Semestinya perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berkenalan antara satu sama lain. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Ingat cinta ni untuk mereka yang berkahwin je? Dalam bersahabat, berkawan, juga ada cinta. Kenal bukan sekadar mengetahui nama, asal, tempat tinggal, tetapi perlu tahu sahabat kita ni ‘jenis’ yang bagaimana. Kenal perkara-perkara yang disukainya dan perkara yang tidak digemarinya, juga mengenali keluarganya serta mengenali rakan-rakannya yang lain. Oleh itu, JOM kita bina ukhuwah dengan bertaaruf, berkenalan antara satu sama lain.

Kedua adalah FAHAMI sahabat kita. Apabila bercakap berkenaan ‘faham’ ini, benda yang pertama  terlintas dalam fikiran setiap orang adalah faham perasaan sahabat kita. Cuba selami jiwa dan perasaan mereka. Ada sahabat yang kita akan nampak dia sentiasa tersenyum, sentiasa happy, sentiasa nampak cool, tetapi apabila kita selami sahabat kita itu, rupa-rupanya disebalik senyuman itu, betimbun-timbun kerja dan tanggungjawab yang perlu dipikulnya, bermacam masalah yang dihadapinya, masalah keluarga, ada yang baru putus cinta, ada yang baru lepas kena marah dengan lecturer, ada yang bermasalah dalam study, failed exam dan banyak lagi.

“Bila kau sudi selami dalami dan mengalami”, lirik lagu 'Teman Pengganti' ini seolah-olah sesuai  dengan part ni. Maka baru kita akan rasa, “Wow, diorang boleh senyum dan ketawa lagi,”

Jadi apa yang boleh kita fahami, ada dua perkara. Pertama betapa mereka ini cuba melindungi kesusahan yang dihadapinya daripada dilihat dan dirasai oleh orang lain, dan kedua betapa mereka ini cukup kuat dengan ujian yang ditimpa keatasnya. Secara peribadi, yang kedua lebih bermakna walaupun memilih untuk kedua-duanya. Yang kedua itu banyak mengajar bahawa ‘ujian itu menambahkan dan menguatkan iman!!”

Selepas kita memahami diri sahabat kita, senang untuk kita berkongsi apa-apa perkara bersama sahabat dan juga sebaliknya, mereka berkongsi dengan kita. Maka disini, ciri yang ketiga akan muncul iaitu saling BANTU-MEMBANTU antara satu sama lain, atau dalam kata lain, takaful.

Jika kita dapat faham keadaan sahabat kita, kita akan tahu dimana yang perlu kita bantu dan dimana peranan kita sebagai seorang sahabat dapat dilaksanakan. Yang paling penting, kita mesti bersedia untuk  membantu walaupun hanya dengan mengirim doa. Jika kita benar-benar merasai nilai sahabat itu, sampai satu tahap, kita akan melebihkan diri sahabat kita itu lebih dari diri kita sendiri, maka  itulah tahap ukhuwah yang tertinggi, ITHAR.

Teringat kisah bagaimana sayangnya Abu Bakar As-siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w, ketika mereka bersembunyi di dalam gua semasa peristiwa hijrah. Beliau sanggup menahan sakit dipatuk ular semata-mata untuk tidak mengejutkan Nabi Muhammad s.a.w. dari tidurnya. Begitu juga dalam peristiwa yang sama, Ali b Abi Talib, sanggup tidur di tempat tidur Nabi saw ketika cubaan membunuh Nabi Muhamad s.a.w. oleh kafir Quraisy ketika itu.

Oleh itu, diri kita, jika kita benar-benar mahu menjadi sahabat yang sedemikian, mulakan mendidik diri kita dari sekarang. Jika setakat belanja kawan tak perlulah kita berkira sangat, jika kawan mahu pinjam nota, berikan, jika kawan minta diberi tunjuk ajar, jangan sesekali sombong, jika kawan mengajak untuk solat bejemaah, “Apa lagi, JOM!!” Jika kawan meluahkan sesuatu perkara, luangkan masa untuknya, jika diri ini tidak  mampu membantu mereka dan mengikut jejak Ali dan Abu Bakar, paling tidak bantulah semampu yang boleh, hatta hanya dengan doa sekalipun.



Jadi, bila kita kenal, kita faham, kita saling membantu sahabat kita, inilah keluarga yang dikatakan itu.

SEBUAH KELUARGA yang bukannya didirikan atas dasar warisan mahupun aliran darah, tetapi ianya DIDIRIKAN atas dasar NILAI-NILAI sebuah keluarga serta melalui FUNGSI diri.

Mereka yang berada di sekeliling yang bergelar SAHABAT yang diikat dengan ikatan UKHUWAH. Sesungguhnya kita semua adalah bersaudara, maka disini, diri kita bukan sekadar seorang sahabat tetapi juga merangkap seorang kakak, abang, umi, adik, ayah ataupun guru kepada sahabat kita. Maka kita, adalah seorang sahabat yang melebihi nilai sahabat itu.


Nukilan : 5apik


Menyingkap Rahsia Iqra' 1.0


Seorang penulis Zionis telah membukukan segala perancangan dan muslihatnya untuk menghancurkan dunia Islam. Akibatnya, beliau telah menerima kritikan yang hebat daripada rakan seperjuangan, kerana membimbangi kerahsiaan perancangan mereka.


Namun, jawab penulis tersebut dengan selambanya, “Jangan bimbang, orang Islam tidak akan membaca buku saya.” Begitu yakin beliau terhadap kemalasan membaca umat Islam.


Umat Islam masih malas membaca. Namun membaca inilah merupakan wahyu sulung yang diterima Nabi Muhammad s.a.w. di Gua Hira’. 


Gua Hira'



Malaikat Jibrail a.s datang dan berkata,  “Bacalah!”



Baginda menjawab, “Aku tidak pandai membaca.”



Kemudian Baginda bersabda, maksudnya, “Jibrail itu menarik dan mendakapku, sehingga aku berasa kepayahan untuk bernafas. Lalu Jibrail melepaskanku dan berkata, ‘Bacalah!’. Sekali lagi Baginda menjawab, ‘Aku tidak pandai membaca.’



Untuk sekian kalinya, Jibrail mendakapku sehingga aku rasa kepayahan untuk bernafas, lalu Jibrail melepaskanku dan berkata, ‘Bacalah dengan menyebut  nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Paling Pemurah, yang mengajarkan manusia apa yang tidak ia ketahui.’” (Surah al-‘Alaq 96 :1-5)


Maka, turunlah wahyu yang pertama kepada kekasih Allah ini, Nabi Muhammad s.a.w.


Era kini membaca merupakan satu keperluan, bukanlah satu kemahuan mahupun satu hobi peribadi. Saya samakan kepentingannya seperti keperluan penggunaan internet masa kini. Tidak dapat disangkal lagi, internet merupakan satu kemudahan yang amatlah diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Kebanyakan urusan seharian, seperti mendapatkan maklumat, menyelesaikan urusan kerajaan atau bil-bil, serta pendaftaran ke institusi pendidikan, semuanya memerlukan internet. Bayangkan kehidupan peribadimu, tidak ada kemudahan internet secara total, sedangkan dunia kini dimonopoli oleh kecanggihan teknologi maklumat. Kelihatan seperti tidak mampu bukan?



Allah telah memilih kalimah iqra’ untuk mentarbiyah umat Muhammad kerana amalan itu perkara utama dan pertama yang mesti dilakukan untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di hamparan bumi ini. Put first thing first.  



Kenapa Allah memilih ia wahyu yang pertama? Allah tidak akan buat sesuatu yang sia-sia kepada umat Islam.  Pencipta kita Maha Penyayang.



Bacalah. Kerana membaca itulah memberi kita kefahaman. Kefahaman itulah kunci kepada ilmu. Ilmu itu pula imam kepada segala amalan. Dan amalan itu membawa kita kepada taqwa, iaitu sumber kekuatan untuk kita di dunia dan akhirat. Kalau membaca pun kita masih mengelat, pasti lebih jauh kita tersasar daripada jalan takwa.



Kita tidak boleh berada di takuk yang lama terus menerus menyalahkan Barat dan Zionis atas penindasan yang mereka lakukan kepada umat Islam sendiri. Kitalah yang seharusnya membina kekuatan diri dari segi mental, fizikal, dan rohaniah. Saya percaya dengan iqra’ ia mampu memenuhi semua unsur-unsur tersebut. Musuh tidak terlalu pandai, tetapi kita yang terlalu malas dan culas.



Menyingkap sejarah, tawanan Perang Badar yang musyrik (golongan yang menyekutukan Allah) dibebaskan Nabi Muhammad s.a.w jika dapat mengajar  10 orang Muslim membaca dan menulis. Sedangkan ketika itu, umat Islam lebih memerlukan dana dan tenaga dari bentuk fizikal untuk membangunkan Islam. Kenapa Baginda tidak memerintahkan mereka berniaga atau menjadi hamba abdi sahaja? Tindakan luar biasa oleh Baginda. Inilah buktinya. Nabi Muhammad sendiri mengakui kepentingan membaca.



Dengan membaca, datangnya ilmu dan amal. Apa sahaja yang diusahakan tanpa ilmu pasti akan punah. Kalau bukan sekarang, mungkin di kemudian hari. Yang penting daripada segala-galanya adalah ilmu. Dan sesungguhnya ilmu itu hanya hadir dengan membaca.



Iqra’ mampu menghasilkan gelombang kemenangan Islam semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w, dan gelombang iqra’ sekali lagi diperlukan untuk kemenangan Islam yang kedua. Didikan dari sejarah lampau patut diteladani oleh umat Islam. Seharusnya kita menghayati dan menghidupkan kembali roh iqra’ sebagai satu metod untuk membangunkan modal insan ke arah kejayaan dunia dan akhirat.



Jelaslah Allah sendiri mendorong Baginda dan umatnya untuk membaca. Nabi Muhammad s.a.w turut mengakui kehebatan membaca ini.



Tetapi persoalan seterusnya apa itu iqra’ yang sebenanya? Bagaimanakah proses membaca yang disyariatkan oleh Allah? Dan, apa bahan bacaan yang perlu dibaca mengikut prioriti?



Inshaallah, artikel seterusnya akan menyusul kemudian.


Wallahu'alam.


Menyingkap rahsia iqra’

nfn