Wednesday 20 March 2013

Usah Rasa Letih Untuk Memberi




"Asyik-asyik aku je yang kena mengalah. Kena tegur dulu, kena tahan perangai dia. Dia tak sedar ke dia tu salah?" getus hati kecil Amilin.

Bukannya mahu merungut tetapi dia selalu merasakan dia dicari apabila kawannya, Liyana ada masalah. Bila senang, tegur pun jarang-jarang.

Adakalanya, Amilin rasa kosong dalam hati. Mana tidaknya, Liyana sudah dianggap seperti kawan baiknya sendiri. Namun, Liyana seperti menganggapnya sebagai kawan biasa sahaja. Hatinya cukup resah tatkala memikirkan hal ini.

"Kau pernah tak pergi kedai tu?" pertanyaan Liyana dilontarkan pada Farah. 

"Tak pernah, kita cari je la nanti," jawab Farah.

"Kita nak naik apa?" tanya Liyana lagi. 

"Naik teksi je la, susahlah tukar-tukar LRT ni," ngomel Farah sambil membuka bungkusan makanannya.

Tanpa mereka sedari ada sekeping hati yang sedang menahan rasa sedih. Amilin.

Dalam hatinya, mereka tahu bahawa Amilin pernah ke kedai itu. Tidak sedikit pun mereka terdetik mahu bertanya kepadanya. Seolah-olah dirinya tiada di situ. Amilin juga pernah memberitahu Farah cara dia pergi ke kedai itu hampir sebulan yang lepas iaitu menaiki LRT.

Salahkah dia sekadar berkongsi?


Pernah juga dia tidak menegur Liyana, namun Liyana seperti tidak kisah dan tidak menegurnya kembali. Seolah-olah mereka sedang berperang dalam diam. Amilin cukup geram akan apa yang terjadi.

Sehinggalah pada suatu hari Amilin membaca buku karya Hilal Asyraf berjudul Fanzuru (maka lihatlah). Terkesan dengan apa yang dibaca, Amilin sedar akan apa yang berlaku.

Hidup ini mestilah sentiasa memberi tanpa ada niat untuk meminta balasan. Mungkin kita menganggap seseorang itu kawan baik kita, namun baginya kita belum sampai ke tahap itu. Setiap orang ada kriteria-kriteria yang perlu untuk dipenuhi sebelum memegang gelaran 'bestfriend'. Mungkin kita belum ada kriteria tersebut.

Dalam catatan Hilal, "Bukan semua orang faham apa maksud ukhuwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi apakah sahabat kita itu faham makna ukhuwah seperti fahaman kita? Kalau kita faham bahawa ukhuwah tertinggi adalah itsar (melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhuwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama? Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya dalam amalan? "

Teori ukhuwah yang sebenarnya adalah bukannya hubungan dua hala. Kita bagi, dia balas. Dia baik, kita baik. Ukhuwah tersimpan dalam satu individu tanpa menuntut individu lain membalasnya.

Ukhuwah dibina atas dasar keimanan.

Namun, usah risau jika kita sering memberi dengan ikhlas, InsyaAllah pasti diberi ganjarannya nanti. Bukan sahaja dapat sahabat, pahala dan keredhaanNya pasti dalam genggaman kita.

"Hubungan kamu dengan sahabat kamu adalah tanggungjawab kamu kepada Allah S.W.T. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah S.W.T atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah S.W.T. "

deepintothesea

No comments:

Post a Comment