LULUS,
Alhamdulillah! Tanpa sedar air mataku mengalir melihat keputusan peperiksaan
kali ini, lantas aku sujud tanda syukur atas kurnian Allah kali ini.
Kegembiraan aku tidak lama, melihat sahabat aku lain yang gagal, yang bersama
denganku dalam bergerak kerja, sesuatu yang cukup menyedihkan aku. Walaupun
sahabat-sahabatku ini dilihat kuat, tabah, tapi jauh dalam sudut hatinya, aku
tahu apa yang mereka rasakan, buatkan aku terkenang diriku setahun yang
lepas......
Setahun
yang lalu...
GAGAL!!
Aku kena repeat setahun!!Aku terpaku melihat keputusan yang aku perolehi. Diri
aku dengan persekitaran seperti berpisah. Aku hanya mendengar jerit tawa
kegembiraan sahabatku yang lulus, tapi aku, masih terpaku, kaku dan tidak
bergerak. Lantas aku dikejutkan oleh pelukan salah seorang sahabatku yang
lulus,"Allah, kuatkan diri, sabar la..." itu kata-kata yang sempat
aku ingat lagi. Dia mengorbankan haknya yang sepatutnya gembira untuk mententeramkan
hati aku yang kecewa dan sedih. Dia mengorbankan haknya untuk sambut kejayaan
dengan menemani dan bertanya khabar tentangku.
Aku
pernah gagal sebelum ini, tapi aku tidak pernah menangis. Tapi kegagalan kali
ini aku menangis. Selepas aku berusaha bersungguh-sungguh dan aku yakin aku
akan berjaya, tapi sebaliknya berlaku. Hati mana tidak remuk dan kecewa dengan
apa yang berlaku. Ditambah pula melihat wajah sugul kedua ibu bapaku yang
melihat kesedihan dan kekecewaan aku, aku makin rasa kecewa. Aku sudah tidak
punya daya untuk cari kembali kekuatan.
Hari
demi hari berlalu, aku berusaha kuatkan diri, sekurang-kurangnya menggembirakan
kedua ibu bapaku. Banyak mesej kata-kata semangat aku terima.
'be strong...'
'kuatkan semangat, insyaallah ko
boleh...'
'teruskanla..sikit je lagi...'
'ada hikmah Allah nak tunjukkan..'
Aku
hargai semua kata semangat itu, dan kadang hati aku meremehkan semua kata-kata
itu. 'Yelah, kamu tak merasai apa yang aku rasa'. Aku lalui hari-hari
seterusnya seperti biasa. Apa yang ada dalam hati aku biarlah aku dan Allah
sahaja yang tahu. Bilamana ada sahabatku bertanya, "ko macamana, ok?"
Lantas jawapan spontan aku, "Tak Ok.." dan biasanya aku iringi
jawapan itu dengan senyuman atau gelak tawa. Mungkin orang melihat aku hanyalah
bergurau. Ya, aku kuat bergurau, tapi aku tak pandai menipu. Jawapan itu dari
hati aku.
Hari
ini...
Hari
ini, situasi sama berlaku, cumanya watakku berubah. Kini aku pula perlu memberi
semangat kepada sahabatku. Hati aku berkecamuk untuk menitipkan kata semangat
kepada sahabatku. Tatkala hati berkecamuk, jari jemari pula terasa kaku. Yang
bermain dalam fikiranku, "Ahh mungkin apa yang aku bagi ni sama je dengan
orang lain bagi," akalku keliru, buatkan aku bermonolog sendirian,"
Tatkala aku rasa putus asa, tapi aku teruskan juga, apa yang buatkan aku kuat
tempuh ujian ini?" Sendirian aku mengelamun.
ITHAR.
Itu yang bermain di fikiranku. Tanpa sedar bibirku mengukir senyuman. Tinggal
beberapa bulan sebelum aku hadapi peperiksaan kali ini, sekali lagi aku dihujani
kata-kata semangat. Tapi kali ini yang aku peroleh adalah sesuatu yang
luarbiasa yang telah menyentap ego aku sebelum ini yang memandang remeh kata
semangat sahabat-sahabatku.
" Sem depan make sure kat sini,
aku mengeluarkan hukum wajib!!"
tegur salah seorang pimpinan jemaah yang aku sertai, yang aku hormati.
"good luck study. i have faith
in you, kau boleh." tegur
salah seorang sahabat seusrah denganku.
Sambil-sambil
aku belajar, datang sahabatku, sambil pegang muka ku, "aku nak, tiap kali balik dari jawab exam, aku nak wajah hang
dalam keadaan happy,"....
Gila!
Ya itulah sahabatku, sangat terus terang, terus dari hati sanubari. Itu belum
lagi ku kira harapan menggunung kedua ibu bapaku. Kali ini semangatnya berbeza,
perasaannya lain. Buatkan aku bulatkan tekad, tinggalkan segala perasaan yang
lama, aku berusaha sehabis baikku. Bilamana diletakkan 'wajib lulus' semestinya
ada sesuatu yang dia harapkan dari aku demi kelangsungan gerak kerja kali ini,
semestinya dia seorang yang kenal dan menghargai siapa aku. Bilamana dia
meletakkan 'I have faith in you' tatkala akupun masih kurang yakin, buatkan aku
tersentap, bagaimana orang lain boleh yakin dengan aku. Tatkala sahabatku
inginkan aku terus dalam keadaan 'happy' semestinya dia seorang yang sangat
mengenali perangai aku ini. Semestinya cukup besar harapan sahabat-sahabatku
ini. Tiada masa lagi untukku menoleh ke belakang, langkah terus ke depan.
Ithar...
Ya,
sekarang kamu yang merasai kegagalan itu. Ya, benar orang lain tidak merasai
apa yang kamu rasai.Tapi ingatlah, yang pasti kamu tidak pernah hadapinya
seorang diri. Buat sahabat-sahabatku sekalian, mungkin coretan ini tidak ada
letakkan apa-apa ayat Al-quran ataupun hadis, tidak bercakap tentang hikmah,
kerana yakin semua itu semestinya telah memenuhi inbox-inbox mesej kamu.
Cumanya, harapan agar setiap daripada kamu menghargai setiap ucapan, kata
semangat, dan doa mereka. Tatkala orang lain sepatutnya gembira meraikan
kejayaan, mereka masih lagi berkorban kegembiraan mereka untuk memberi semangat
buat kamu. Tatkala mereka rasa takut dan segan untuk memberikan sedikit
kata-kata semangat untuk kamu, mereka sanggup pecahkan tembok itu. Tatkala kamu
tidak ketahui bagaimana orang lain rasai bila mendengar berita kegagalan kamu,
tatkala itulah mereka ini bermunajat, berdoa pada Allah agar kamu diberi
kekuatan, dan peroleh kejayaan selepas ini. Semua ini mereka lakukan tanpa kamu
semua sedar.
Kini
masanya kamu bangkit dari kelemahan, kesedihan dan kekecewaan ini. Membina
semula kekuatan yang pernah kamu miliki. Berapa banyak kisah sejarah lalu
mereka yang gagal bangkit kembali berusaha untuk menang. Kisah penawanan semula
Palestin dari tentera salib, kisah penawanan kota Konstantin. Kisah orang yang
membunuh 100 orang akhirnya bertaubat dan dimasukkan ke syurga dan banyak lagi.
Jika kamu rasa putus asa dan kecewa, ingatlah mereka yang telah meletakkan
harapan dan keyakinan kepada kamu untuk berjaya. Masanya untuk kamu bekorban
perasaan kamu, tinggalkan kekecewaan kamu, terus melangkah dan kuat. Bulatkan
tekad, usahakan sehabis baik, yang mana semestinya kamu akan rasai keletihan
itu dan terpaksa berkorban banyak perkara.
Sekilas
pandang, kenapa aku perlu buat semua ini demi orang lain? Kerana kamu meyakini
ukhuwah, semestinya kamu mengerti tentang Ithar. Ithar bukan sekadar mendahulukan
orang lain dalam membantu dikala punyai masalah, tetapi ithar, memenuhi
permintaan, harapan, keyakinan, dan kepercayaan orang lain terhadap kamu, lalu
kamu berkorban segala rasa kecewa dan lemah yang kamu rasai kini, dan terus
berikan sehabis baik dalam memenuhi harapan itu yang mana semestinya kamu akan
rasai keletihan, kesusahan, berkorban banyak perkara deminya. Tatkala kamu
berjaya penuhi harapan mereka, tatkala itu kamu juga memenuhi harapan kamu
sendiri yang pada suatu ketika kamu rasakan ianya suatu yang mustahil. Ingatlah
yang diuji itu tidak lain Allah datangkan dengan pelajaran dan pengajaran yang
cukup banyak.
Aku
menulis ini kerana sayangnya aku pada kamu, dan kamu, tidak pernah aku
tinggalkan keseorangan.......teruskan berusaha, jangan pernah rasa lelah dan
kecewa.
Aku
adalah yang telah melalui kegagalan itu.
Kamu
adalah yang sedang lalui kegagalan itu.
Mereka
adalah yang memberi harapan dan meletakkan keyakinan kepada kamu
…..dan
ukhuwah, itu antara aku, kamu, Allah, dan mereka….
“Kerana ukhuwah itu terbina, kehidupan jadi luarbiasa…….”
- Shah Hafiz -