Usrah dah nak dekat, tajuk nak
dibawa adalah berkenaan tarbiyah, Sambil membelek silibus tarbiyah, terbaca
sebuah perenggan berbunyi :
"Tarbiyah Islamiyah didefinisikan sebagai suatu usaha yang
berterusan untuk mengislamkan kesuburan
tubuh badan (kesihatan dan kecergasan fizikal), pekerti, roh dan akal
fikiran. Ia juga bertujuan untuk menyempurnakan
akhlak yang memungkinkan manusia itu hidup
di dunia ini dalam keadaan baik
dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti”.
Lalu aku menggelengkan kepala,
silibus ini terlalu berat untuk aku ‘hadam’ dan untuk aku sampaikan, aku
berfikir sejenak memikirkan bagaimana untuk menyampaikan tajuk ini dengan
ringkas dan berkesan.
Tarbiyah, satu perkataan yang
tidak biasa didengar oleh orang kebanyakan, dilihat ‘eksklusif’ di mana ianya
hanya bermain di bibir-bibir agamawan, memberatkan lagi kepala aku memikirkan
cara yang sesuai menyampaikannya. Aku mengelamun panjang, lantas aku teringat
suatu peristiwa di dewan kuliyah.
"Sebagai bakal doktor, kamu semua perlu menjadi seorang yang
berdisiplin...", itulah antara ungkapan daripada pensyarah-pensyarah yang
sering bermain di telinga aku dan rakan2 yang berada di dalam kursus perubatan
ini, malah aku yakin apa-apa kursus pengajian sekalipun, hatta seorang yang
kita lihat hanya sebagai seorang tukang cuci, semestinya mereka juga selalu
diingatkan berkenaan disiplin kerjanya.
"Hmm..disiplin...," tak sempat
aku bergumam panjang, pensyarahku menyambung celotehnya.
"Jangan sesekali ponteng
tanpa alasan, jangan lewat, sentiasa menepati masa, berpakaian kemas dan perlu
bersikap profesional dalam setiap perkara," sambungnya.
Ya betul, datang kelas ikut masa
yang ditetapkan, pakaian kemas, cara bergaul, cara bercakap dengan patient semua perlu dijaga. Kelakuan,
akhlak, semua ini adalah disiplin yang selalu ditekankan, sebelum terjun ke
dalam bidang yang dikatakan professional ini. Kualiti adalah perkara yang
sangat penting!
Aku cuba kaitkan ungkapan itu
dengan tajuk tarbiyah ini, hakikatnya, ‘disiplin’
diri yang sering dimomokkan oleh cikgu, pensyarah, majikan dan sebagainya, hanyalah sebahagian kecil dari skop
tarbiyah itu.
Jika dipecahkan skop tarbiyah
itu, ‘disiplin’ ini hanya merangkumi tarbiyah dari sudut akhlak dan sebahagian
dari sudut ilmu. Bagaimana pula tarbiyah
dari sudut roh, tarbiyah untuk tubuh badan, tarbiyah dari sudut jihad, dari
segi siasah??
“Hmm..," aku menghela nafas panjang.
Disiplin hanya sebahagian kecil
dari skop tarbiyah Islam. Kalau yang kecil ini pun sukar bagi sesetengah orang
untuk mendisiplinkan dirinya, apatah lagi untuk mengikuti guideline tarbiyah yang dianjurkan oleh Islam.
Aku membelek lagi silibus
tarbiyah itu.
“Emm, tarbiyah ruhiyah, solat
fardhu dan ibadah sunat, tarbiyah jasadiyyah, menjadi sihat, cergas, tarbiyah
jihad, kesediaan perjuangkan Islam”, lalu aku mengukir senyuman tanpa sedar.
Melihat di atas kertas, memang
cukup sukar untuk betul-betul melaksanakan agenda tarbiyah ini. Ttetapi tanpa
sedar, banyak perkara yang dilakukan
seharian sebenarnya sudah terangkum dalam tarbiyah Islam ini.
Solat fardhu, solat sunat,
ibadah sunat seperti puasa sunat, zikir dan selawat, tadarus Al-Quran,
Alhamdulillah, aku yakin semua ini menjadi kebiasaan aku dan rakan-rakan serta
adik-adik usrah. Dan ini sebahagian daripada tarbiyah ruhiyah itu. Cuma tambahan dilakukan dari sudut kualiti
seperti solat diawal waktu dan berjemaah, bukan sekadar tadarus tetapi juga
tadabur Al-quran, dan istiqamah dengan amalan-amalan ini. Amalan-amalan ini
merupakan ‘makanan’ iman, menguatkan
lagi ikatan kita kepada Allah s.w.t.
Setiap petang aku bermain futsal
bersama rakan-rakan, melihat suasana waqi'
aku disini, amalan bersenam adalah suatu budaya, ada yang bermain volleyball, ada yang jogging, ada yang berbasikal, ini semua
adalah untuk menjaga kesihatan dan
kecergasan tubuh badan selain menghilangkan stress selepas seharian di
dewan kuliyah. Ini semua adalah terangkum dalam
tujuan yang ingin dicapai menerusi tarbiyah
jasadiyyah. Apa yang selalu diabaikan dan perlu ditambah dan ditekankn adalah dari sudut
pemakanan. Makanan bukan sahaja halal, tetapi juga baik. Baik adalah cukup,
sihat dan berkhasiat sesuai dengan diri masing-masing. Ini adalah penting untuk
melahirkan tubuh badan yang sihat.
Tarbiyah aqliyyah, makanan untuk akal memimpin cara fikir seseorang. Pelajaran daripada dewan kuliyah serta menerusi rutin harian di
wad, lebih tertumpu kepada bidang pengajian yang diambil. Sebagai penambahan,
perlu juga diri dilengkapi dengan ilmu berkenaan fiqh perubatan. Selain itu,
tidak hanya tertumpu kepada buku perubatan dan dewan kuliyah semata-mata,
tetapi juga melengkapkan diri dengan ilmu agama, bertadabur Al-quran, mengaji
hadis-hadis, mengambil tahu isu-isu
semasa menerusi akhbar, berita, majalah dan sebagainya serta mengikuti
kuliyah-kuliyah ilmu agama dan menghadiri sesi usrah bersama agar ilmu itu
bertambah, bercambah dan berkembang seterusnya melahirkan muslim yang kompeten.
Tarbiyah ruhiyah, jasadiyah dan
aqliyyah merupakan sebahagian daripada skop tarbiyah Islam. Profesionalisme
seperti penekanan terhadap disiplin menepati waktu, keterampilan yang kemas,
tutur kata yang sopan, pergaulan yang baik, berakhlak mulia, ini semua
terangkum di dalam tarbiyah khuluqiyah yakni penekanan terhadap akhlak itu.
Manifestasi keseluruhan skop tarbiyah ini secara praktikal merupakan
tarbiyah jihad. Emm..senangkan, sebahagiannya tanpa
sedar sudahpun kita semua lakukan, malah ianya sudah menjadi kebiasaan harian kita.
Hanya sedikit penambahan dan
penambahbaikan kepada amalan seharian kita bagi memenuhi ciri tarbiyah Islam
itu. Disiplin di dewan kuliyah penekanan adalah untuk menyediakan kualiti bagi
seorang profesional.
Tarbiyah Islam, adalah untuk mendidik menjadi disiplin bukan
sekadar memenuhi kehendak profesionalisme, malah melahirkan muslim yang profesional
dan berdisiplin seterusnya menonjolkan imej seorang muslim yang sebenarnya.
Mendisiplinkan
diri adalah tarbiyah diri.
Segala perkara baik yang dilakukan seharian juga adalah tarbiyah diri,
Segala usaha memperbaiki diri adalah
tarbiyah diri.
Dimana-manapun proses tarbiyah ini berjalan, menjadi muslim beriman dan sejati,
bahagia di dunia, mendapat rahmat dan redha Allah di akhirat.
Segala usaha mencegah
dan mengelak diri dari melakukan dosa dan maksiat adalah tarbiyah diri.
Maka tarbiyah
adalah menjalani kehidupan dengan baik.
Ramuannya NIAT
yang betul, BERSERAH kepada Allah, dan ISTIQAMAH.
Ayuh sama-sama
menjadi orang yang membaiki diri.
Wassalam
Nukilan : 5apik