Seorang penulis Zionis telah membukukan segala perancangan dan muslihatnya untuk menghancurkan dunia Islam. Akibatnya, beliau telah menerima kritikan yang hebat daripada rakan seperjuangan, kerana membimbangi kerahsiaan perancangan mereka.
Namun, jawab penulis tersebut
dengan selambanya, “Jangan bimbang,
orang Islam tidak akan membaca buku saya.” Begitu yakin beliau terhadap
kemalasan membaca umat Islam.
Umat Islam masih malas membaca. Namun membaca inilah merupakan wahyu sulung yang
diterima Nabi Muhammad s.a.w. di Gua Hira’.
Gua Hira' |
Malaikat Jibrail a.s datang dan
berkata, “Bacalah!”
Baginda menjawab, “Aku tidak pandai membaca.”
Kemudian Baginda bersabda,
maksudnya, “Jibrail itu menarik dan mendakapku, sehingga aku berasa kepayahan
untuk bernafas. Lalu Jibrail melepaskanku dan berkata, ‘Bacalah!’. Sekali lagi Baginda menjawab, ‘Aku tidak pandai membaca.’
Untuk sekian kalinya, Jibrail
mendakapku sehingga aku rasa kepayahan untuk bernafas, lalu Jibrail
melepaskanku dan berkata, ‘Bacalah
dengan menyebut nama Tuhanmu Yang
menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah,
dan Tuhanmu yang Paling Pemurah, yang mengajarkan manusia apa yang tidak ia
ketahui.’” (Surah al-‘Alaq 96 :1-5)
Maka, turunlah wahyu yang pertama kepada kekasih Allah ini, Nabi Muhammad s.a.w.
Era kini membaca merupakan satu
keperluan, bukanlah satu kemahuan mahupun satu hobi peribadi. Saya samakan
kepentingannya seperti keperluan penggunaan internet masa kini. Tidak dapat
disangkal lagi, internet merupakan satu kemudahan yang amatlah diperlukan untuk
menjalani kehidupan seharian. Kebanyakan urusan seharian, seperti mendapatkan
maklumat, menyelesaikan urusan kerajaan atau bil-bil, serta pendaftaran ke
institusi pendidikan, semuanya memerlukan internet. Bayangkan kehidupan peribadimu, tidak ada
kemudahan internet secara total, sedangkan dunia kini dimonopoli oleh kecanggihan teknologi maklumat. Kelihatan
seperti tidak mampu bukan?
Allah telah memilih kalimah iqra’
untuk mentarbiyah umat Muhammad kerana amalan itu perkara utama dan pertama
yang mesti dilakukan untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di hamparan bumi
ini. Put first thing first.
Kenapa Allah memilih ia wahyu
yang pertama? Allah tidak akan buat sesuatu yang sia-sia kepada umat
Islam. Pencipta kita Maha Penyayang.
Bacalah. Kerana membaca itulah
memberi kita kefahaman. Kefahaman itulah kunci kepada ilmu. Ilmu itu pula imam
kepada segala amalan. Dan amalan itu membawa kita kepada taqwa, iaitu sumber
kekuatan untuk kita di dunia dan akhirat. Kalau membaca pun kita masih
mengelat, pasti lebih jauh kita tersasar daripada jalan takwa.
Kita tidak boleh berada di takuk
yang lama terus menerus menyalahkan Barat dan Zionis atas penindasan yang
mereka lakukan kepada umat Islam sendiri. Kitalah yang seharusnya membina
kekuatan diri dari segi mental, fizikal, dan rohaniah. Saya percaya dengan iqra’
ia mampu memenuhi semua unsur-unsur
tersebut. Musuh tidak terlalu pandai, tetapi kita yang terlalu malas dan culas.
Menyingkap sejarah, tawanan
Perang Badar yang musyrik (golongan yang menyekutukan Allah) dibebaskan Nabi
Muhammad s.a.w jika dapat mengajar 10
orang Muslim membaca dan menulis. Sedangkan ketika itu, umat Islam lebih memerlukan
dana dan tenaga dari bentuk fizikal untuk membangunkan Islam. Kenapa Baginda
tidak memerintahkan mereka berniaga atau menjadi hamba abdi sahaja? Tindakan
luar biasa oleh Baginda. Inilah buktinya. Nabi Muhammad sendiri mengakui
kepentingan membaca.
Dengan membaca, datangnya ilmu
dan amal. Apa sahaja yang diusahakan tanpa ilmu pasti akan punah. Kalau bukan
sekarang, mungkin di kemudian hari. Yang penting daripada segala-galanya adalah
ilmu. Dan sesungguhnya ilmu itu hanya hadir dengan membaca.
Iqra’ mampu menghasilkan
gelombang kemenangan Islam semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w, dan gelombang iqra’
sekali lagi diperlukan untuk kemenangan Islam yang kedua. Didikan dari sejarah
lampau patut diteladani oleh umat Islam. Seharusnya kita menghayati dan
menghidupkan kembali roh iqra’ sebagai satu metod untuk membangunkan modal
insan ke arah kejayaan dunia dan akhirat.
Jelaslah Allah sendiri mendorong
Baginda dan umatnya untuk membaca. Nabi Muhammad s.a.w turut mengakui kehebatan
membaca ini.
Tetapi persoalan seterusnya apa
itu iqra’ yang sebenanya? Bagaimanakah proses membaca yang disyariatkan oleh
Allah? Dan, apa bahan bacaan yang perlu dibaca mengikut prioriti?
Inshaallah, artikel seterusnya akan menyusul kemudian.
Menyingkap rahsia iqra’
nfn
bacalah,
ReplyDeletesebutlah dengan nama Tuhan yang menciptakan..