Friday 15 February 2013

Sahabat Melebihi Sahabat


Setiap kali tinggal berjauhan dengan keluarga, teringat ketika bersekolah dulu perlu tinggal di asrama. Begitu juga sekarang, semasa berada di universiti, juga tinggal di asrama, jauh dari keluarga yang tersayang.

Kebanyakan  mesti pernah melalui pengalaman, diawal-awal berjauhan daripada keluarga, kaki ini pasti berat untuk melangkah, hati ini sepi, perasaan bercampur-campur, almaklumlah ‘baiti jannati’.

Lama-kelamaan mulalah bersahabat, semakin hari semakin ramai sahabat, semakin rapat, malah semakin hari semakin cintakan mereka, “Oppss...cintakan sahabat-sahabat kita la...kamu semua jangan fikir bukan-bukan” Sejak bersahabat ini, ada yang bertanya dengan nada sinis, “Mana keluarga? Dah tak rindu ke?”

Alamak, bukan macam tu la, rindu tu rindu, mana boleh tak rindu, usrati jannati. Kamu jangan suka-suka nak duga hati ni, nanti tak pasal-pasal homesick, maka husnudzon lah ye.

Hakikatnya dalam hidup ini, kita perlu realistik, berada di asrama, apabila celik mata, yang pertama kita nampak adalah roommate kita, abila buka pintu untuk ke bilik air, terserempak pula dengan  jiran-jiran yang juga rakan satu kuliyah kita. Banyak masa ketika belajar ini sebenarnya  kita lebih rapat dengan sahabat, lebih banyak bergaul dengan sahabat, apa-apa masalah, yang paling dekat untuk kita semua cari tempat mengadu adalah, “haaa ALLAH SWT!!”.

Yang itu memang tak boleh dinafikan. Tetapi begitu Allah sayangkan kita, Dia tidak pernah tinggalkan kita keseorangan, walaupun kita jauh daripada keluarga. Allah telah gantikan ruang yang kosong itu dengan sahabat-sahabat yang baik dengan kita semua.

Merekalah keluarga kita di sini.

“Eh, sekejap sahabat sekejap keluarga,  ayyo PENINGLAAA!!”

Ada yang pening? Tak lah, tak ada apa yang perlu dipeningkan dengan statement ini. Ya memang benar, sahabat itu boleh jadi sebahagian daripada keluarga kita. “Erkk kamu nak aku KAHWIN dengan kawan aku tu ke??”

Eh bukan macam tu (tapi kalau ada berkenan dengan mana-mana kawan yang ada apa salahnya). Baik, sebenarnya ada 3 ciri yang perlu ada pada seseorang untuk orang merasai kehadiran dia dalam hidup sahabatnya seolah-olah satu keluarga.



Ciri yang pertama adalah KENAL. Semestinya perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berkenalan antara satu sama lain. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Ingat cinta ni untuk mereka yang berkahwin je? Dalam bersahabat, berkawan, juga ada cinta. Kenal bukan sekadar mengetahui nama, asal, tempat tinggal, tetapi perlu tahu sahabat kita ni ‘jenis’ yang bagaimana. Kenal perkara-perkara yang disukainya dan perkara yang tidak digemarinya, juga mengenali keluarganya serta mengenali rakan-rakannya yang lain. Oleh itu, JOM kita bina ukhuwah dengan bertaaruf, berkenalan antara satu sama lain.

Kedua adalah FAHAMI sahabat kita. Apabila bercakap berkenaan ‘faham’ ini, benda yang pertama  terlintas dalam fikiran setiap orang adalah faham perasaan sahabat kita. Cuba selami jiwa dan perasaan mereka. Ada sahabat yang kita akan nampak dia sentiasa tersenyum, sentiasa happy, sentiasa nampak cool, tetapi apabila kita selami sahabat kita itu, rupa-rupanya disebalik senyuman itu, betimbun-timbun kerja dan tanggungjawab yang perlu dipikulnya, bermacam masalah yang dihadapinya, masalah keluarga, ada yang baru putus cinta, ada yang baru lepas kena marah dengan lecturer, ada yang bermasalah dalam study, failed exam dan banyak lagi.

“Bila kau sudi selami dalami dan mengalami”, lirik lagu 'Teman Pengganti' ini seolah-olah sesuai  dengan part ni. Maka baru kita akan rasa, “Wow, diorang boleh senyum dan ketawa lagi,”

Jadi apa yang boleh kita fahami, ada dua perkara. Pertama betapa mereka ini cuba melindungi kesusahan yang dihadapinya daripada dilihat dan dirasai oleh orang lain, dan kedua betapa mereka ini cukup kuat dengan ujian yang ditimpa keatasnya. Secara peribadi, yang kedua lebih bermakna walaupun memilih untuk kedua-duanya. Yang kedua itu banyak mengajar bahawa ‘ujian itu menambahkan dan menguatkan iman!!”

Selepas kita memahami diri sahabat kita, senang untuk kita berkongsi apa-apa perkara bersama sahabat dan juga sebaliknya, mereka berkongsi dengan kita. Maka disini, ciri yang ketiga akan muncul iaitu saling BANTU-MEMBANTU antara satu sama lain, atau dalam kata lain, takaful.

Jika kita dapat faham keadaan sahabat kita, kita akan tahu dimana yang perlu kita bantu dan dimana peranan kita sebagai seorang sahabat dapat dilaksanakan. Yang paling penting, kita mesti bersedia untuk  membantu walaupun hanya dengan mengirim doa. Jika kita benar-benar merasai nilai sahabat itu, sampai satu tahap, kita akan melebihkan diri sahabat kita itu lebih dari diri kita sendiri, maka  itulah tahap ukhuwah yang tertinggi, ITHAR.

Teringat kisah bagaimana sayangnya Abu Bakar As-siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w, ketika mereka bersembunyi di dalam gua semasa peristiwa hijrah. Beliau sanggup menahan sakit dipatuk ular semata-mata untuk tidak mengejutkan Nabi Muhammad s.a.w. dari tidurnya. Begitu juga dalam peristiwa yang sama, Ali b Abi Talib, sanggup tidur di tempat tidur Nabi saw ketika cubaan membunuh Nabi Muhamad s.a.w. oleh kafir Quraisy ketika itu.

Oleh itu, diri kita, jika kita benar-benar mahu menjadi sahabat yang sedemikian, mulakan mendidik diri kita dari sekarang. Jika setakat belanja kawan tak perlulah kita berkira sangat, jika kawan mahu pinjam nota, berikan, jika kawan minta diberi tunjuk ajar, jangan sesekali sombong, jika kawan mengajak untuk solat bejemaah, “Apa lagi, JOM!!” Jika kawan meluahkan sesuatu perkara, luangkan masa untuknya, jika diri ini tidak  mampu membantu mereka dan mengikut jejak Ali dan Abu Bakar, paling tidak bantulah semampu yang boleh, hatta hanya dengan doa sekalipun.



Jadi, bila kita kenal, kita faham, kita saling membantu sahabat kita, inilah keluarga yang dikatakan itu.

SEBUAH KELUARGA yang bukannya didirikan atas dasar warisan mahupun aliran darah, tetapi ianya DIDIRIKAN atas dasar NILAI-NILAI sebuah keluarga serta melalui FUNGSI diri.

Mereka yang berada di sekeliling yang bergelar SAHABAT yang diikat dengan ikatan UKHUWAH. Sesungguhnya kita semua adalah bersaudara, maka disini, diri kita bukan sekadar seorang sahabat tetapi juga merangkap seorang kakak, abang, umi, adik, ayah ataupun guru kepada sahabat kita. Maka kita, adalah seorang sahabat yang melebihi nilai sahabat itu.


Nukilan : 5apik


2 comments: