Friday 15 February 2013

Membuang Kejanggalan TARBIYAH



Usrah dah nak dekat, tajuk nak dibawa adalah berkenaan tarbiyah, Sambil membelek silibus tarbiyah, terbaca sebuah perenggan berbunyi :

"Tarbiyah Islamiyah didefinisikan sebagai suatu usaha yang berterusan untuk mengislamkan kesuburan tubuh badan (kesihatan dan kecergasan fizikal), pekerti, roh dan akal fikiran. Ia juga bertujuan untuk menyempurnakan akhlak yang memungkinkan manusia itu hidup di dunia ini dalam keadaan baik dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti”.

Lalu aku menggelengkan kepala, silibus ini terlalu berat untuk aku ‘hadam’ dan untuk aku sampaikan, aku berfikir sejenak memikirkan bagaimana untuk menyampaikan tajuk ini dengan ringkas dan berkesan.

Tarbiyah, satu perkataan yang tidak biasa didengar oleh orang kebanyakan, dilihat ‘eksklusif’ di mana ianya hanya bermain di bibir-bibir agamawan, memberatkan lagi kepala aku memikirkan cara yang sesuai menyampaikannya. Aku mengelamun panjang, lantas aku teringat suatu peristiwa di dewan kuliyah.

"Sebagai bakal doktor, kamu semua perlu menjadi seorang yang berdisiplin...", itulah antara ungkapan daripada pensyarah-pensyarah yang sering bermain di telinga aku dan rakan2 yang berada di dalam kursus perubatan ini, malah aku yakin apa-apa kursus pengajian sekalipun, hatta seorang yang kita lihat hanya sebagai seorang tukang cuci, semestinya mereka juga selalu diingatkan berkenaan disiplin kerjanya.

"Hmm..disiplin...," tak sempat aku bergumam panjang, pensyarahku menyambung celotehnya.

"Jangan sesekali ponteng tanpa alasan, jangan lewat, sentiasa menepati masa, berpakaian kemas dan perlu bersikap profesional dalam setiap perkara," sambungnya.

Ya betul, datang kelas ikut masa yang ditetapkan, pakaian kemas, cara bergaul, cara bercakap dengan patient semua perlu dijaga. Kelakuan, akhlak, semua ini adalah disiplin yang selalu ditekankan, sebelum terjun ke dalam bidang yang dikatakan professional ini. Kualiti adalah perkara yang sangat penting!

Aku cuba kaitkan ungkapan itu dengan tajuk tarbiyah ini, hakikatnya, ‘disiplin’ diri yang sering dimomokkan oleh cikgu, pensyarah, majikan dan sebagainya, hanyalah sebahagian kecil dari skop tarbiyah itu.

Jika dipecahkan skop tarbiyah itu, ‘disiplin’ ini hanya merangkumi tarbiyah dari sudut akhlak dan sebahagian dari sudut ilmu. Bagaimana pula tarbiyah dari sudut roh, tarbiyah untuk tubuh badan, tarbiyah dari sudut jihad, dari segi siasah??

“Hmm..," aku menghela nafas panjang.

Disiplin hanya sebahagian kecil dari skop tarbiyah Islam. Kalau yang kecil ini pun sukar bagi sesetengah orang untuk mendisiplinkan dirinya, apatah lagi untuk mengikuti guideline tarbiyah yang dianjurkan oleh Islam.

Aku membelek lagi silibus tarbiyah itu.

“Emm, tarbiyah ruhiyah, solat fardhu dan ibadah sunat, tarbiyah jasadiyyah, menjadi sihat, cergas, tarbiyah jihad, kesediaan perjuangkan Islam”, lalu aku mengukir senyuman tanpa sedar.

Melihat di atas kertas, memang cukup sukar untuk betul-betul melaksanakan agenda tarbiyah ini. Ttetapi tanpa sedar, banyak perkara yang dilakukan seharian sebenarnya sudah terangkum dalam tarbiyah Islam ini.

Solat fardhu, solat sunat, ibadah sunat seperti puasa sunat, zikir dan selawat, tadarus Al-Quran, Alhamdulillah, aku yakin semua ini menjadi kebiasaan aku dan rakan-rakan serta adik-adik usrah. Dan ini sebahagian daripada tarbiyah ruhiyah itu. Cuma tambahan dilakukan dari sudut kualiti seperti solat diawal waktu dan berjemaah, bukan sekadar tadarus tetapi juga tadabur Al-quran, dan istiqamah dengan amalan-amalan ini. Amalan-amalan ini merupakan ‘makanan’ iman, menguatkan lagi ikatan kita kepada Allah s.w.t.

Setiap petang aku bermain futsal bersama rakan-rakan, melihat suasana waqi' aku disini, amalan bersenam adalah suatu budaya, ada yang bermain volleyball, ada yang jogging, ada yang berbasikal, ini semua adalah untuk menjaga kesihatan dan kecergasan tubuh badan selain menghilangkan stress selepas seharian di dewan kuliyah. Ini semua adalah terangkum dalam  tujuan yang ingin dicapai menerusi tarbiyah jasadiyyah. Apa yang selalu diabaikan dan  perlu ditambah dan ditekankn adalah dari sudut pemakanan. Makanan bukan sahaja halal, tetapi juga baik. Baik adalah cukup, sihat dan berkhasiat sesuai dengan diri masing-masing. Ini adalah penting untuk melahirkan tubuh badan yang sihat.

Tarbiyah aqliyyah, makanan untuk akal memimpin cara fikir seseorang. Pelajaran daripada dewan kuliyah serta menerusi rutin harian di wad, lebih tertumpu kepada bidang pengajian yang diambil. Sebagai penambahan, perlu juga diri dilengkapi dengan ilmu berkenaan fiqh perubatan. Selain itu, tidak hanya tertumpu kepada buku perubatan dan dewan kuliyah semata-mata, tetapi juga melengkapkan diri dengan ilmu agama, bertadabur Al-quran, mengaji hadis-hadis,  mengambil tahu isu-isu semasa menerusi akhbar, berita, majalah dan sebagainya serta mengikuti kuliyah-kuliyah ilmu agama dan menghadiri sesi usrah bersama agar ilmu itu bertambah, bercambah dan berkembang seterusnya melahirkan muslim yang kompeten.



Tarbiyah ruhiyah, jasadiyah dan aqliyyah merupakan sebahagian daripada skop tarbiyah Islam. Profesionalisme seperti penekanan terhadap disiplin menepati waktu, keterampilan yang kemas, tutur kata yang sopan, pergaulan yang baik, berakhlak mulia, ini semua terangkum di dalam tarbiyah khuluqiyah yakni penekanan terhadap akhlak itu.

Manifestasi keseluruhan skop tarbiyah ini secara praktikal merupakan tarbiyah jihad. Emm..senangkan, sebahagiannya tanpa sedar sudahpun kita semua lakukan, malah ianya sudah menjadi kebiasaan harian kita.

Hanya sedikit penambahan dan penambahbaikan kepada amalan seharian kita bagi memenuhi ciri tarbiyah Islam itu. Disiplin di dewan kuliyah penekanan adalah untuk menyediakan kualiti bagi seorang profesional.

Tarbiyah Islam, adalah untuk mendidik menjadi disiplin bukan sekadar memenuhi kehendak profesionalisme, malah melahirkan muslim yang profesional dan berdisiplin seterusnya menonjolkan imej seorang muslim yang sebenarnya.

Mendisiplinkan diri adalah tarbiyah diri.
Segala perkara baik yang dilakukan seharian juga adalah tarbiyah diri,
Segala usaha memperbaiki diri  adalah tarbiyah diri. Dimana-manapun proses tarbiyah ini berjalan, menjadi muslim beriman dan sejati, bahagia di dunia, mendapat rahmat dan redha Allah di akhirat.

Segala usaha mencegah dan mengelak diri dari melakukan dosa dan maksiat adalah tarbiyah diri.
Maka tarbiyah adalah menjalani kehidupan dengan baik.

Ramuannya NIAT yang betul, BERSERAH kepada Allah, dan ISTIQAMAH.

Ayuh sama-sama menjadi orang yang membaiki diri.
Wassalam

Nukilan : 5apik

2 comments:

  1. Thanks for sharing your opinions on this topic. Yup. Tarbiyyah should be done on daily routine. Not only nak masuk tahun baru je. Today should be better than yesterday and so tomorrow should be better than today :) Future doc jugak eh? Same here insyaAllah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam. u're welcome. ;))
      betul, keep moving and upgrading ourselves. itulah tabiyah.
      InshaAllah, future doc jugak. nanti boleh la exchange entry. ^^
      thanks for dropping by.

      Delete