Ditarik jubah suaminya. Suaminya ditahan
daripada melangkah pergi. Sayu dengan tindakan suaminya sendiri.
“Apakah
ini dilakukan kerana Allah?”
tanyanya untuk kepastian.
“Ya,
wahai isteriku. Semua ini kerana Allah,”
membalas pertanyaan
lalu segera melangkah pergi.
Tanpa menoleh kepada mereka, langkah diatur pulang
ke tanah asal. Tanpa sedikit penyesalan di sanubari.
Tiada lagi pertanyaan seterusnya. Tiada
herdikan atau cacian kepada suaminya. Apatah lagi pergaduhan, hatta satu
ungkitan. Siti Hajar merelakan suaminya pergi. Mata dan hatinya menghantar Nabi
Ibrahim a.s dengan penuh redha.
Perpisahan
sementara, atau kekal.
Andai suamiku sanggup untuk berkorban kerana
ia perintah Allah, maka aku juga perlu sanggup berkorban. Aku juga perlu terima
untuk ditinggalkan dan berpisah dengan imamku, juga semuanya kerana Allah. Mungkin inilah monolog dalaman Siti Hajar ketika itu.
Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan Allah
untuk membawa isterinya, Siti Hajar serta anaknya yang berusia 2 tahun, Ismail
untuk ditinggalkan di sebidang tanah yang gersang. Satu lembah yang
kering-kontang, tiada sumber makanan, jauh daripada manusia, haiwan dan
tumbuh-tumbuhan. Lembah ini dikenali sebagai Mekah.
Bayangkan, kita ditinggalkan oleh ahli
keluarga di sebuah lembah tandus yang secara logik akal mampu membawa kepada
kematian. Atau bayangkan sahaja apa perasaan ibumu di tempat Hajar. Siti Hajar
yang menanggung derita. Anaknya perlu
diberi makanan dan perlindungan. Anaknya terlalu kecil dan lemah untuk
meneruskan kehidupan di lembah ini. Anak kecil seusia 2 tahun ini perlu
diselamatkan.
Keluarga ini sendiri tidak pasti, sama ada
mereka mampu diketemukan kembali atau tidak selepas peristiwa ini.
Ditinggalkan
“Lelaki
itu meninggalkan aku selepas 5 tahun menyulam kasih. Setelah hati ini ini
dipujuk rayu dengan kalimah cinta, ini balasan yang aku dapat. Janji untuk
mengakhiri hubungan ini dengan pernikahan selalu menjadi janji,” desisnya perlahan.
“Aku
tidak sanggup kehilangannya. Dia tempat aku meluahkan sedih, menceritakan
masalah di tempat kerja, dan untuk memanja. Dia lah kawan baik, kekasih hati
dan teman gaduhku. Dia yang mengambil berat tentang kehidupan aku selama ini,” terangnya ringkas.
“Kenapa
Allah hukum aku macam ni?”
“Kenapa
Megat meninggalkan aku dengan alasan dia mahu berubah?” tanyanya kepadaku sebagai pengakhiran.
Ditinggalkan. Kelihatan kita merupakan seorang yang sangat malang dan loser kalau menjadi mangsa ditinggalkan. Seakan-akan kita ini tiada nilai lagi di mata orang yang meninggalkan.
Namun, dalam situasi ini, kesanggupan untuk
ditinggalkan adalah satu kemenangan yang besar. Berani untuk merasai kehilangan
dan keseorangan kerana percaya Allah telah melindungi kita. Percaya Allah akan
memberi maslahat yang lebih besar.
Dengan perintah ditinggalkan inilah, Siti
Hajar dapat menjadi seorang heroin.
Dengan izin Allah, Siti Hajar mampu menjadi penyelamat kepada Suku Jurhum.
Ketika anaknya Ismail menangis kehausan, Siti Hajar berlari dari satu kawasan
ke kawasan yang lain untuk mencari air. Sehingga Allah menurunkan perintah
kepada malaikat Jibrail untuk menolang mereka berdua.
Maka terpancarlah air zam-zam dari tanah ketika Ismail menghentak-hentakkan kakinya menangis kehausan. Dengan peristiwa ini, wujudlah satu sumber air yang telah membawa kepada penghijrahan Suku Jurhum . Bukan itu sahaja, malah ia telah menyelamatkan kaum Suku Jurhum daripada kehausan dan dehidrasi.
Maka jangan resah andai ditinggalkan.
Boyfriend lari? Clash? Bersyukurlah hubungan itu terputus. Walaupun kehilangan
kekasih hati, namun akan ada kebaikannya kelak. Percayalah, setiap yang
diperintahkan Allah itu, ada manfaat untuk kita sendiri.
Ditinggalkan bermakna Allah telah memagari
sebahagian diri kita daripada zina dan maksiat. Allah telah membantumu. Allah
telah membawamu ke jalan yang perlu diikuti. Anda perlu u-turn ke jalan yang benar. Allah telah membuka jalan kita untuk
mendekati syurga.
Meninggalkan
Jangan disangka hanya Siti Hajar yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim a.s yang meninggalkan isteri dan anaknya.
Seorang suami yang disandarkan untuk
melindungi ahli keluarganya, memberikan nafkah termasuk makanan dan tempat
tinggal. Jika dinilai dengan mata, Nabi Ismail a.s telah mengkhianati amanahnya
sebagai seorang suami dan ayah.
Suami yang membiarkan ahli keluarganya
terdampar di tempat yang tiada sumber makanan dan air untuk hidup, tiada tempat
perlindungan dari panas terik, dan tiada komuniti berdekatan untuk diminta
tolong. Suami ini telah mencabuli tugasnya sebagai perlindung. Suami ini telah
mendedahkan ahli keluarganya kepada kebuluran, dehidrasi, ancaman bencana alam,
serta membawa kepada kematian. Suami ini wajar dihukum.
Namun, Nabi Ibrahim a.s menggagahkan diri
untuk melakukannya. Kerana ia merupakan perintah Allah. Kadang-kadang orang
yang meninggalkan lebih derita daripada orang yang ditinggalkan. Penanggungan dan
sakitnya lebih parah. Melaksanakan perintah Allah, hati pula meronta-ronta
untuk melakukan sebaliknya.
Namun, tiada lagi alasan yang dapat membatasi,
jika satu tugasan itu perintah Allah. Dilaksanakan, walaupun terpaksa
meletakkan insan yang dicintainya berhadapan dengan kesusahan. Kerana cinta
kepada Allah melebihi cinta kepada isteri dan anaknya. Itulah cinta Ilahi.
Begitu banyak cerita
Ada suka ada duka
Cinta yang inginku tulis
Bukanlah cinta biasa
Dua keyakinan beza
Masalah pun tak sama
Ku tak ingin dia ragu
Mengapa mereka selalu bertanya
Cintaku bukan diatas kertas
Cintaku getaran yang sama
Tak perlu dipaksa
Tak perlu dicari
Kerna kuyakin ada jawabnya
oh...
Satu sahaja tindakan yang dilakukan oleh Siti
Hajar ketika ditinggalkan oleh suaminya.
Hanya satu soalan yang diutarakan untuk menuntut kepastian daripada
suaminya, adakah semua ini berlandaskan perintah Allah. Tiada yang lain.
Maka Siti Hajar menyambut tindakan suaminya
dengan tenang dan berlapang dada.
“Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi
hamba-hambaNya, akan tetapi, hamba-hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka
sendiri.’’
Surah Yunus : 44
”Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan
terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka
bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku
zalim kepada hamba-hamba-Nya.”
Surah
Fussilat : 46
Bertemu kerana Allah, berpisah juga kerana
Allah. Hanya Allah alasan dalam semua perkara. Ah, mereka mengikat rasa cinta
dan kasih, membina sebuah institusi baitul muslim, kerana satu. Kerana Allah.
Tidak pernah ada ‘kerana’ yang lain. Kasih sayang antara meraka bukan hanya
termeterai sebagai cinta dunia. Tapi dikenali sebagai cinta agung.
Berbeza dengan kita kini hari. Cinta kepada
Allah entah jauh ke mana. Jika diletakkan dalam Carta Hits 20 lagu terkini, Cinta Agung ini mungkin di tangga yang ke-18.
Seorang sahabat pernah berbisik sesuatu.
“Aku nak berubah, aku nak menutup aurat.
Tapi sayang la, baju-baju aku yang trendy, masih elok. Apa aku nak buat dengan
semua baju-baju ini? Nanti membazir,” rungutnya.
“Lagipun,
baju menutup aurat tak banyak pilihan dekat pasaran. Yang ada nampak sangat
kolot. Labuh, lebar dan warnanya kusam. Aku tidak mahu dilabel sebagai orang
down to date,” tambahnya.
Meninggalkan sesuatu yang menjadi kebiasaan
sangat sukar. Meninggalkan orang yang kita sayang, harta yang dikumpul, dan
aktiviti yang disukai kelihatan sangat mudah. Tapi dari segi perlaksanaan,
sering dibatasi dengan hasutan nafsu dan syaitan.
Bersediakah
kita untuk meninggalkan dan ditinggalkan?
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu
adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk”
Al-Israa’
: 32
Hati kita tahu, menjalinkan hubungan sebelum
bernikah itu hukumnya haram dalam Islam. Namun, disebabkan rasa sayang kepada
pasangan, digagahkan meneruskan hubungan terlarang ini.
“Aku tahu ini haram. Tapi aku tak nak
mainkan perasaan boyfriend aku. Dalam Islam kan dilarang menganiayai orang,”
balas seorang sahabat.
“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain
beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya)
kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang
melakukan yang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya),
(yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal
dalam azab itu, dalam keadaan terhina”
Al-Furqaan : 68-69
Memenangkan pasangan dalam kes ini, disebabkan
menjaga perasaan pasangan merupakan helah syaitan. Alasannya masih disandarkan
kepada Islam, menggunakan hadis sahih. Namun penggunaannya salah tempat. Maka
dengan kecetakan ilmu, kita yang sanggup meletakkan diri kita dibakar oleh api
neraka.
Bukan kita seorang. Kita juga telah menganiayai
pasangan kita. Mungkin di dunia kelihatan tidak. Namun tanpa sedar, kita telah
meletakkan mereka dalam satu keadaan yang lebih teraniaya, iaitu neraka.
Berapa lama kita akan ber’couple’? Berapa lama jangka hayat kita? Bila agaknya kita mati?
Ketika di dunia yang mungkin mempunyai 40 tahu
jangka kehidupan, pasangan kita diraikan. Dijaga hatinya. Disambut rasa cinta
yang dihulur oleh pasangan kita. Namun, di sana, yang lebih kekal, kita telah
menyakiti mereka. Lebih dasyat.
Cinta dunia. Cinta yang kelihatan indah berbunga-bunga.
Cinta yang menggembirakan jiwa dan sanubari. Terasa bahagia. Namun, tanpa
sedar, inilah contoh cinta sementara. Bunga yang mekar akan mati sekelip mata.
Senyuman masa kini akan diganti dengan jeritan melolong menahan kesakitan
dibakar api neraka.
Tangan dibelai ketika di dunia, akan diganti dengan tangan
yang lecur akibat nyalaan api neraka. Mata yang saling menjeling manja, mungkin
boleh buta dan menanah dek kerana bahang di sana.
Penutup
Cinta itu disuntik dalam hati kita oleh Allah. Ia fitrah. Begitu juga dengan nafsu. Terasa ingin disayangi. Terasa ingin bersama-sama dengan insan tersayang. Terasa ingin dimilik dan memiliki.
Islam tidak pernah menyuruh kita membuangnya.
Allah memerintahkan kita menguruskannya.
Sukar? Semua orang rasa sukar. Kita manusia.
Kita hamba. Walaupun ia perit dan menyesakkan diri, bersabarlah.
Kita tidak setabah Siti Hajar. Kita juga
mungkin bukan sebaik Nabi Ibrahim a.s. namun setidak-tidaknya kita belajar
bersabar. Bersabar menguruskan nafsu dan fitrah, seiring dengan peneguhan
‘kerana Allah’ dalam hati.
Tinggalkanlah mereka, andai ia masih haram
buat kita. Tinggalkanlah ia, kerana cinta kita kepada mereka. Tinggalkanlah
kerana kita sendiri tidak sanggup melihat mereka dijilat api neraka di depan
mata kita. Tinggalkanlah kerana kita percaya wujudnya dosa dan pahala.
Tinggalkanlah jika syurga yang dikejar bukan neraka. Tinggalkanlah kerana cinta
kepadaNya melindungi kita sentiasa.
Sesungguhnya, cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar bukan cinta biasa. Ia cinta agung antara hamba dan Tuannya.
Sesungguhnya, cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar bukan cinta biasa. Ia cinta agung antara hamba dan Tuannya.
Salam sayang,
nfn
nfn
No comments:
Post a Comment